Sabtu, 14 Februari 2009

SIASAH MALAYSIA SEDANG MENCIPTA SEJARAH

Ruhanie Ahmad


Kita sedang mencipta satu sejarah. Inilah pertama kalinya dua PRK - satu untuk kerusi Parlimen Bukit Gantang di Perak, satu lagi untuk kerusi DUN Bukit Selambau di Kedah - akan diadakan pada tempoh yang sama - hari penamaan calon pada 29 Mac 2009, hari pengundian pada 7 April 2009.

Dari segi taktik dan strategi, keserentakan ini mungkin baik. Sekurang-kurangnya seluruh sumber dan tenaga terpaksa di bahagi dua. Ini mengurangkan tumpuan seluruh negara hanya ke satu destinasi siasah. Ini mengurangkan kekelamkabutan suasana.

Dalam konteks siasah UMNO, kedua-dua PRK ini akan diadakan tanpa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Presiden. Insya Allah, Presiden UMNO ketika itu adalah Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak. Ini kerana Perhimpunan Agung UMNO dijangkan pada akhir Mac 2009.

Bagaimanapun, kedua-dua PRK ini juga akan menjadi indikator kepada penerimaan para pengundi dan rakyat jelata kepada Najib. Mungkinkah BN akan memperbaiki prestasi dan peluang kemenangannya dalam kedua-dua PRK berkenaan tanpa Abdullah?

Demi kebaikan semua pihak, di sini saya siarkan beberapa komen yang dikirimkan ke blog ini mengenai kedua-dua PRK tersebut.

Aiman: (komen menerusi SMS): Untuk BN memenangi PRK Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau, mungkinkah Najib memujuk Tun Dr Mahathir Mohamad kembali ke pangkuan UMNO dan lantik beliau sebagai penasihat Kerajaan?

Madam Curi: Para strategis BN/UMNO harus mambaca blog dan ambil iktibar daripada komen yang diberikan. Walaupun bukan ahli politik, saya insaf bahawa rakyat tidak begitu suka cara sesetengah pemimpin BN. Belum apa-apa lagi sudah cakap besar. Jika betul-betul ingin menjenamakan semula BN/UMNO sila turun ke padang dan ikutlah resmi padi...lagi berisi lagi tunduk. Datanglah menggunakan baju yang biasa dan jangan bermegah diri. Selain pemimpin, ahli keluarga juga perlu memainkan peranan.

Berita Dari Gunung: Ada alasan kuat kenapa BN perlu menawan semula kubu kuatnya (Bukit Gantang). Dengan senario krisis di Perak, BN perlu bekerja kuat untuk menang. Bukan kempen di situ saja yang penting, tetapi situasi feel good wajar diketengahkan dalam semua aspek, baik dalam media, baik setiap kata-kata pemimpin komponen BN.

Hasrul: Pada PRU12, majorIti undi hanyalah sekitar 2000. Insya Allah, BN akan mengambil semula Bukit Gantang dengan syarat, calon adalah anak tempatan. Bukan calon paying terjun! Andainya pandangan ini direalisasikan, jentera BN Bukit Gantang, UMNO khususnya, akan berlawan habis-habisan.

Amir Hamzah: Pemimpin atasan UMNO perlu belajar daripada PRK Permatang Pauh dan PRK Kuala Terengganu. Parlimen Bukit Gantang jadi kerusi taruhan BN untuk menguji sokongan rakyat Perak.

Nisha: Calon dan juga jentera BN sendiri memainkan peranan penting dalam menjamin kemenangan pada PRK ini – perlu sepakat. BN kena belajar dari kesilapan.

Matdeboq: Faktor calon yang bakal diketengahkan oleh UMNO (di Bukit Gantang) memainkan peranan penting. Pada PRU12 orang UMNO tak bersungguh-sungguh berkempen berbanding orang PR.

Bunga Raya: Kenapa harus calon di Bukit Selambau diisikan oleh calon India, sedangkan majoriti penduduk di situ adalah Melayu? Saya persoalkan perkara ini sejak dari zaman di Universiti lagi. Demi toleransi?

Al-Balingi: Bukit Gantang bakal jadi medan sebenar antara BN dan PR. Mood rakyat memang menyebelahi PR. Tapi, apa-apa pun bisa berlaku. Jika ditakdirkan BN tewas, mereka harus belajar dan muhasabah diri.

Jiwa Merdeka: Saya menduga cara BN merampas Kerajaan Negeri Perak dariapda PR akan menyebabkan majoriti orang Melayu dan bukan Melayu bersimpati kepada PR.

Slyderrose: Saya yakin BN akan kalah lagi sebab UMNO/BN tiadak pernah belajar dari kesilapan.

Burung Jantan: Rakyat Perak mungkin masih emosi dan kemenangan akan menyebelahi mereka jika calonnya itu bekas MB perak iaitu Datuk Seri Ir Nizar.

Alam: Semua yang betanding dalam PRK Bukit Gantang memang menaruh harapan untuk menang tetapi realiti akan tahu selepas pengumuman. Berusahalah bersungguh-sungguh.

Moga-moga Najib sudi membaca seluruh komen di atas. Mudah-mudahan tempoh kempen yang panjang kali ini membawa kemenangan kepada pihak yang direstui Allah!

0 ulasan: