Oleh NIZAM YATIM
KUALA LUMPUR - Kerajaan negeri Perak yang kini dikuasai Barisan Nasional (BN) akan menukar Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak lama lagi menerusi pendekatan yang berlandaskan undang-undang negeri itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, ini kerana penyandang jawatan itu, V. Sivakumar yang dipilih ketika pakatan pembangkang memerintah negeri tersebut, masih menganggap dirinya Speaker yang sah.
Bagaimanapun, jelas beliau, bakal Speaker yang baru dari BN belum lagi ditentukan.
"Siapa yang akan menjadi Speaker (baru) kita belum tentukan lagi.
"Kita ada pendekatan-pendekatan yang akan diambil untuk menggantikan Speaker (dengan calon BN) nanti," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program penanaman pokok Hutan Kita - Kiara di Taman Bukit Kiara di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Sivakumar semalam bahawa dia masih Speaker DUN Perak yang sah kerana telah dipilih untuk mengetuai DUN melalui pengundian.
Menurut Sivakumar, jawatan yang dipegangnya itu hanya boleh dilucutkan melalui proses yang sama.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh dari DAP itu memberitahu, pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan juga beroperasi seperti biasa selain beliau turut menggunakan kemudahan rasmi seperti kereta dan sebagainya.
Baru-baru ini, Naib Presiden MIC, Datuk S. Veerasingam mengumumkan pihaknya akan mencadangkan tiga calon untuk dipilih bagi jawatan berkenaan.
Pada pilihan raya umum lalu, kesemua empat calon MIC di Perak yang masing-masing bertanding di DUN Behrang, Hutan Melintang, Pasir Panjang dan Sungkai tewas.
Exco: Batu dan telur idea p'raya bebas Najib?
11 beberapa jam yang lalu

0 ulasan:
Catat Ulasan