Oleh ZULKIFLI JALIL
ADAKAH ketua-ketua sayap UMNO yang memenangi jawatan parti tempoh hari bakal terpilih mengisi portfolio menteri?
Mengupas kembali sejarah sayap khususnya Pemuda dan Wanita, sememangnya menjadi tradisi ketuanya dilantik menteri setelah melepasi proses pemilihan demokrasi akar umbi parti itu.
Sejarah Pergerakan Pemuda UMNO selepas merdeka menyaksikan cuma dua penerajunya tidak terpilih menganggotai Kabinet. Mereka ialah Suhaimi Kamaruddin (1978 - 1982) dan Ahmad Zahid Hamidi (1996).
Suhaimi pada eranya bagaimanapun berpeluang menyumbang peranan di Kementerian Pertanian dan Kementerian Pendidikan selaku timbalan menteri. Seorang lagi,Harun Idris (1971-1976) meskipun tidak memegang status menteri, merupakan Menteri Besar Selangor.
Sebelum itu, era Pemuda UMNO yang diterajui Kapten Hussein Onn pada 1949 dan Tun Abdul Razak (1950) sibuk dengan perjuangan untuk melenyapkan muslihat Malayan Union yang akhirnya merencanakan kejayaan orang Melayu memerdekakan Tanah Melayu.
Dan semasa era Sardon Jubir mengepalai Pemuda (1951 hingga 1964), pengiktirafan parti diterjemahkan dengan memberikan beliau portfolio Menteri Kerja Raya pada 1955.
Dua peneraju Pemuda selepas Suhaimi dan sebelum Zahid, turut mengisi portfolio menteri iaitu Anwar Ibrahim (1982-1987) yang mengetuai Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (1983), disusuli Najib Tun Razak (1988-1993) di kementerian yang sama.
Bagi Pergerakan Wanita, selepas merdeka, empat ketuanya dilantik menteri. Mereka ialah Fatimah Hashim (1956-1972) yang mengetuai Kementerian Kebajikan (1969); Aishah Ghani (1972-1984) di Kementerian Kebajikan Masyarakat pada 1973.
Rafidah Aziz lebih awal menjawat Menteri Perusahaan Awam iaitu empat tahun sebelum dipilih memimpin Wanita, diikuti Dr. Siti Zaharah Sulaiman (1996-1999) yang dilantik Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat pada 1999.
Justeru, berhubung perihal kedudukan Ketua Wanita UMNO yang baru, Shahrizat Abdul Jalil dalam Kabinet, sewajarnyalah pucuk pimpinan menimbangkannya.
Beliau yang menang pada pemilihan parti baru-baru ini harus ada ruang untuk dilantik sebagai menteri sekurang-kurangnya di Jabatan Perdana Menteri.
Portfolio itu dilihat paling sesuai untuk Shahrizat yang biar pun tewas pada pilihan raya lalu tetapi masih dilantik sebagai Penasihat Hal Ehwal Pembangunan Wanita dan Masyarakat kepada Perdana Menteri.
Status quo beliau yang bertaraf menteri itu dilihat perlu dikekalkan sebagai mengiktiraf kemenangannya meraih jawatan Ketua Pergerakan Wanita UMNO akhir bulan lalu.
Bagi kedudukan Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin pula, tanda tanya terus berlegar. Adakah tradisi Ketua Pemuda berstatus menteri akan berubah? Masih tidak pasti.
Dan akhirnya bagi Puteri UMNO, soal sama ada penerajunya, Rosnah Abdul Rashid Shirlin berpeluang menganggotai Kabinet kurang diperkatakan oleh akar umbi.
Mungkin kerana semasa Azalina Othman Said menerajui Puteri yang ditubuhkan pada 2001, beliau hanya dipertanggungjawabkan untuk memfokus matlamat menguatkan pergerakan itu. Tiada jawatan Kabinet untuknya.
Hanya semasa era Noraini Ahmad, ruang dibuka sedikit kepadanya memegang jawatan Timbalan Menteri Sumber Manusia. Lagi pula usia Puteri masih muda dan peranannya dalam parti perlu diperkukuhkan lagi justeru soal mengisi jawatan dalam Kabinet tidak sepatutnya timbul.
Turut menarik perhatian mengenai kedudukan mereka yang tewas bagi jawatan utama parti. Mereka termasuk dua menteri yang gagal bagi jawatan naib presiden iaitu Rais Yatim dan Khaled Nordin.
Begitu juga dengan calon bagi jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang tewas iaitu Mukhriz Mahathir yang juga Ahli Parlimen Jerlun. Semuanya ini menarik untuk dinantikan jawapannya hari ini.
Apa pun, pengumuman barisan Kabinet baru yang dihebohkan semalam tidak menjadi kenyataan. Najib masih dalam proses penyediaan dan penilaian rapi demi merealisasikan saf gagasan beliau 'Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.'
Rais buta mana harta negara & Umno
5 beberapa jam yang lalu

0 ulasan:
Catat Ulasan