Khamis, 9 April 2009

Tidak perlu gubal Akta Mencegah Lompat Parti

SINAR HARIAN


KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak bercadang untuk menggubal Akta Mencegah Lompat Parti pada masa ini kerana bertentangan dengan hak berpersatuan yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, walaupun Perlembagaan membenarkan ia digubal, namun kerajaan dari dulu telah mengambil pendirian tidak akan memperkenalkan kerana dalam Perlembagaan kita memberi jaminan kepada setiap warganegara diberi hak untuk berpersatuan.

“Tindakan menggubal akta tersebut juga dirasakan tidak perlu pada masa ini kerana tiada keperluan mendesak memandangkan tindakan lompat parti tidak berlaku secara kerap dan berleluasa sehingga mengganggu kestabilan negara.

“Namun, jika masa hadapan dirasakan perlu, ia akan difikirkan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, semalam.

Beliau berkata, keputusan tersebut juga diambil selepas merujuk kepada suatu kes pada 1992 apabila Kerajaan Negeri Kelantan telah memperkenalkan enakmen yang menghalang ahli Parlimennya menukar parti politik, bagaimanapun enakmen tersebut tidak diluluskan oleh Mahkamah Agung.

“Mahkamah telah memutuskan bahawa undang-undang menyekat seseorang lompat parti adalah menyalahi hak berpersatuan sebagaimana dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

0 ulasan: