Isnin, 11 Mei 2009

Chikungunya merebak ke 2 daerah

BERITA HARIAN ONLINE


ALOR SETAR: Penyakit Chikungunya yang sebelum ini dikesan di daerah Pokok Sena, merebak ke dua daerah berhampiran dengan lebih 100 penduduknya menghidap demam dengan simptom sama sejak dua minggu lalu.

Di daerah Pendang, penyakit itu dikatakan merebak ke lapan kampung, manakala Padang Terap dua kampung terjejas.

Lapan kampung di daerah Pendang yang diserang penyakit itu ialah Kampung Bendang Baru, Kampung Banggol, Kampung Perupuk, Kampung Charok Tok Min, Kampung Kubang Lerek, Kampung Nandam, Kampung Budi dan Kampung Pokok Asam.

Di Padang Terap pula membabitkan Kampung Kepala Batas dan Kampung Jalan Naka.

Tinjauan Berita Harian di Klinik Kesihatan Kubur Panjang dekat Pendang, semalam mendapati lebih 10 pesakit mendapatkan rawatan selepas mengadu mengalami demam panas berterusan dan sakit sendi.

Seorang petugas Klinik Kesihatan Kubur Panjang yang enggan namanya disiarkan berkata, jumlah mereka yang mendapatkan rawatan kerana demam dan sakit sendi meningkat hampir setiap hari.

Katanya, pesakit yang mengalami demam serius akan dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Penduduk Kampung Gulau, Tualang, Shaharil Mohd Tab, 38, berkata beliau mendapatkan rawatan ke klinik itu selepas empat hari demam panas, sakit sendi dan belakang badan yang serius.

"Seluruh anggota badan terasa sakit terutama di bahagian sendi dan saya terpaksa mengambil ubat penahan sakit untuk meredakan kesakitan.

"Tiga hari saya tidak mampu bangun dan bergerak dan hari ini saya terpaksa datang ke sini,” katanya ketika ditemui Klinik Kesihatan Kubur Panjang di sini, semalam.

Seorang lagi mangsa dari Kampung Bendang Raja, Siah Ending, 85, berkata dia meminta anaknya, Zakaria Eding, 55, membawanya ke klinik selepas mengalami demam dan sakit sendi sejak kelmarin.

0 ulasan: