Khamis, 14 Mei 2009

'Detektif Lim' dituduh curi buku

MALAYSIA KINI


Seorang pelakon drama bersiri kehidupan polis Gerak Khas menukar pengakuannya kepada tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur terhadap pertuduhan mencuri dua buah buku.

Farid Amirul Hisham Abdullah - yang memegang watak "Detektif Lim" - sepatutnya dijatuhkan hukuman pada hari ini setelah mengaku bersalah pada 8 April, tetapi menukar pengakuannya di hadapan Majistret Mohd Faizi Che Abu.

Menurut Bernama, pelakon popular itu didakwa mencuri Sistine Secrets berharga RM89.90 dan Decoding The Heavens berharga RM105 di kedai buku MPH Bookstore, Mid Valley, pada 7.15 malam 27 Mac lepas.

Beliau, yang diwakili peguam bela Nor Azri Mohd Arif, didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika disabitkan kesalahan.

Mahkamah menetapkan 18 Jun ini untuk tarikh perbicaraan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar.

Dalam perkembangan lain, sebanyak 434 helai baju T bergambar karektor siri animasi popular Upin dan Ipin bernilai RM5,967 dirampas di Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu petang semalam.

Pengarah bahagian penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Mohd Hilmi Mohd Noor berkata baju T itu dirampas dari 13 premis ekoran aduan daripada pemegang hak cipta, lapor agensi berita tersebut.

0 ulasan: