Abdul Rahim Sabri
Penduduk di kawasan Indian Settlement di Kampung Pandan kesal dengan sikap MIC yang tidak menjemput mereka bersama untuk berbicang dengan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M Saravanan mengenai keputusan penangguhan operasi merobohkan rumah mereka hari ini.
Sebaliknya, keputusan tersebut hanya dimaklumkan oleh seorang pemimpin MIC di situ selepas pulang daripada mengadakan perbincangan dengan timbalan menteri berkenaan.
"Menteri tidak berjumpa dengan penduduk... MIC pun tak berbincang dengan penduduk. Mereka balik beritahu, (perobohan) tangguh sampai bulan Oktober," kata pengerusi Kelab Penyokong PAS Titiwangsa, K Ramamoorthi ketika dihubungi Malaysiakini.
Ramamoorthi yang juga antara penduduk terbabit berkata, MIC mengadakan perbincangan dengan timbalan menteri berkenaan petang kelmarin.
Sebelum ini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengeluarkan notis untuk meroboh kira-kira 200 rumah di situ hari ini.
Ramamoorthi berkata, beliau juga percaya penangguhan tersebut ada kena mengena dengan demontrasi mereka di situ Ahad lalu, membantah tindakan DBKL untuk merobohkan kediaman mereka.
Pindah ke PPR dekat
Tambahnya, desakan dari Dewan Pemuda PAS Titiwangsa yang turut membantah tindakan tersebut, telah mendapat liputan media dan ia turut mendorong keputusan penangguhan tersebut.
Isnin lalu, Pemuda PAS kawasan tersebut membantah sekeras-kerasnya tindakan DBKL untuk meroboh rumah penghuni di situ.
Ketua penerangannya, Raja Sidqi Raja Lope dilaporkan berkata walaupun DBKL telah menyediakan rumah kepada penghuni tersebut di Kampung Muhibbah, Puchong, tetapi ia masih tidak menyelesaikan masalah penduduk Indian Settlement.
Sehubungan itu, Ramamoorthi mencadangkan kepada kerajaan agar penduduk di situ dipindahkan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang berdekatan dengan Kampung Pandan.
Antaranya ialah PPR Laksamana di Jalan Peel yang terletak dua kilometer dari kediaman mereka sekarang, PPR Sri Alam (2.5 km dari Kampung Pandan) dan PPR di Setapak sejauh 4 km dari Kampung Pandan.
"Kita tak mahu membangkang. Kita nak bekerjasama dengan menteri. Kalau nak asing, tempatkan (kami di rumah) berdekatan," kata Ramamoorthi.
MIV ikrar sokongan pada Pakatan Rakyat
2 beberapa jam yang lalu

0 ulasan:
Catat Ulasan