Sabtu, 9 Mei 2009

JPJ gantung kursus akademi susulan kematian pelatih

MSTAR ONLINE


KAKITANGAN perubatan Hospital Melaka memeriksa pelatih Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan yang dipercayai dijangkiti bakteria "meningitis" semalam.

MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memutuskan untuk menggantung kesemua kursus di akademinya di Tiang Dua ekoran kematian seorang pelatih.

Keputusan itu diambil sementara menunggu penemuan siasatan perubatan.

Selain satu kematian tiga orang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka dan sembilan lagi dimasukkan ke wad pengasingan hospital itu.

Semalam, Pengarah Jabatan Kesihatan Melaka Dr. Ghazali Othman berkata, kesemua mereka dipercayai dijangkiti bakteria "meningitis".

"Seramai 85 lagi pelatih dikuarantin di akademi berkenaan untuk pemantauan," katanya.

Pelatih lelaki yang meninggal dunia itu telah dimasukkan ke hospital itu pada 2 Mei dan meninggal dunia dua hari kemudian.

Pelatih itu telah dimasukkan ke hospital selepas mengadu demam, batuk, pening dan hidung berair, kata Dr Ghazali.

Dr. Ghazali berkata, sebelum kejadian itu, seramai 100 pelatih akademi tersebut telah menjalani latihan di luar akademi dalam tiga kumpulan iaitu di Pedas, Negeri Sembilan, Muar, Johor dan Bukit Katil, Melaka selama tiga hari mulai 27 April.

"Kesemua pelatih terbabit kembali ke akademi berkenaan pada 2 Mei lepas di mana antara mereka mengadu hidung berair, pening dan demam," katanya.

POSITIF

Dalam pada itu, 13 pelatih yang sedang menerima rawatan di Hospital Melaka menunjukkan perkembangan baik dengan memberi respons positif terhadap rawatan yang diberikan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kesihatan Melaka, Chua Keng Hua berkata, daripada jumlah itu, tiga pelatih sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) manakala 10 pelatih lagi di wad pengasingan dengan gejala jangkitan saluran pernafasan.

"Semua kes (pesakit) menunjukkan gejala utama iaitu demam disertai dengan salah satu atau lebih daripada tanda-tanda seperti sakit kepala, sakit sendi, keletihan, batuk, loya, kejang perut dan menggigil," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Chua turut menjelaskan seorang pelatih, Mohd Hafiz Zainudin, 24, dari Kelantan, meninggal dunia dipercayai akibat meningitis ketika dalam perjalanan ke Hospital Melaka dan bukannya meninggal dunia di hospital itu sebagaimana dilaporkan media semalam.

Sebelum kejadian itu, 100 pelatih akademi itu telah menjalani latihan di luar akademi dalam tiga kumpulan iaitu di Pedas, Negeri Sembilan; Muar, Johor; dan Bukit Katil, Melaka selama tiga hari bermula 27 April lepas.

Chua berkata sampel darah, air kencing, calitan tekak kesemua pelatih telah dihantar ke makmal Hospital Melaka dan Institut Penyelidikan Perubatan untuk siasatan lanjut dan keputusanya diharap dapat diketahui dalam tempoh terdekat.

Katanya 85 pelatih lagi masih dikuarantin di akademi itu untuk pemantauan.

"Punca kejadian kes ini masih dalam siasatan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka," katanya.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Melaka mengesan kes berkenaan pada Khamis lepas apabila sembilan pelatih akademi itu datang ke Jabatan Kecemasan Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan demam dan simptom lain.

Berikutan itu, sebuah pasukan siasatan telah ditubuhkan bagi melakukan siasatan dan saringan kepada semua pelatih berusia antara 23 dan 24 tahun di akademi itu.

Katanya sehingga 8 pagi ini, bilangan yang terdedah dan disaring ialah 418 orang yang terdiri daripada pelatih dan kakitangan akademi itu.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Melaka telah mengambil beberapa langkah termasuk membuka bilik gerakan di Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah, menubuhkan pasukan penyiasatan dan kawalan, mengesan kes secara aktif dan pasif mengikut difinisi kes.

Langkah lain ialah rawatan simptomatik bagi setiap kes dan rujukan ke hospital, rawatan prifilaksis antibiotik kepada pelatih, kakitangan akademik dan kakitangan kesihatan terlibat, membuat pengasingan kepada pesakit di hospital Melaka dan akademi itu dan pemeriksaan persekitaran akademi.

Sementara itu, Dr. Ghazali yang turut hadir pada sidang akhbar itu berkata, penyakit itu boleh merebak melalui udara dan bukannya penyakit baru kerana ia pernah berlaku di tempat lain.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Kelantan, Negeri Sembilan, Johor dan Pulau Pinang perlu menyaring pesakit yang ada simptom meningitis kerana terdapat pelatih akademi itu yang pulang ke kampung masing-masing di negeri terlibat.

0 ulasan: