Khamis, 14 Mei 2009

Kurangkan pembakaran terbuka

SINAR HARIAN ONLINE


SEKINCHAN – Orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti pembakaran secara terbuka bagi mengelak risiko kebakaran terutama dalam tempoh musim panas yang dijangka berpanjangan sehingga September ini.

Ketua Balai, Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan, Syed Lotfi Syed Abdullah berkata, ramalan kaji cuaca yang menjangkakan musim panas bermula April sehingga September depan, boleh mengakibatkan risiko kebakaran sekiranya orang ramai melakukan pembakaran secara tidak terkawal terutama di kawasan hutan yang diterokai.

Menurutnya, aktiviti pembakaran seperti di kawasan kebun, ladang dan penerokaan tanah hutan perlu dilakukan dalam keadaan terkawal seperti menyediakan laluan parit atau memaklumkan kepada balai bomba berhampiran untuk tujuan pengawalan dan langkah berjaga-jaga.

“Begitu juga keadaan di premis mahupun kediaman masing-masing, kita sarankan supaya aktiviti pembakaran dapat dikurangkan, dengan cara ini kita dapat mengelak sebarang kerosakan mahupun kebakaran berlaku,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Anggota Bomba Peringkat Balai di sini, semalam.

Turut hadir, guru dan kanak-kanak dari lima Tabika di Sekinchan, Pasukan Kadet Bomba sekolah, Pasukan Bomba Sukarelawan Sekinchan, Pasukan Bomba Kilang juga orang awam.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menyarankan orang ramai supaya dapat menyalurkan maklumat dengan segera bagi setiap kes kecemasan bagi membantu anggota bomba bertindak dengan cepat.

Menurutnya, daripada tinjauan yang dilakukan, masih ramai yang menganggap 994 sebagai talian kecemasan kebakaran.

“Semua jabatan kecemasan termasuk jabatan bomba kini menggunakan talian 999 dan bukannya 994,” katanya.

Selain ceramah, sambutan sehari yang diadakan di pekarangan balai bomba Sekinchan itu, turut memaparkan tayangan gambar pencegahan kebakaran, persembahan dari pasukan kadet serta demonstrasi seperti pemadaman api dari Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bomba dan Penyelamat (Perisma), menyelamat mangsa kebakaran menggunakan tali juga sukaneka yang disertai kanak-kanak Tabika.

Syed Lotfi berkata, sambutan berkenaan sempena sambutan Hari Bomba Sedunia yang disambut 4 Mei setiap tahun untuk memberi peluang anggota bomba mendekati masyarakat dalam usaha memberikan perkhidmatan kebombaan terbaik khusus kepada penduduk setempat.

Beliau yang sebelum itu berkhidmat sebagai Ketua Balai, Balai Bomba dan Penyelamat Sabak Bernam turut mengajak masyarakat setempat untuk memeriahkan sambutan di peringkat negeri yang akan diadakan pada 14 dan 15 Mei ini di Balai Bomba dan Penyelamat Kota Anggerik juga Hari Bomba bersama Masyarakat yang menyediakan pameran, kempen juga pertandingan kawad kaki di tempat letak kereta Pasar Raya Giant, Shah Alam pada 30 dan 31 Mei nanti.

0 ulasan: