UTUSAN ONLINE
KUANTAN - Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan menghantar pasukan perubatan ke rumah-rumah terpilih melalui program Nur@rumah bagi memberi khidmat nasihat mengenai aspek perancangan keluarga dan menentukan jarak kehamilan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, langkah itu diambil memandangkan masih terdapat pasangan suami isteri yang kurang memberi penekanan kepada aspek perancangan keluarga terutama jarak kehamilan.
Melalui program itu, kata beliau, kedua-dua pihak akan berkongsi maklumat mengenai jarak kehamilan yang selamat dan kaedah terbaru dalam aspek perancangan keluarga.
''Ada suami isteri tidak tahu bagaimana untuk mengamalkan perancangan keluarga sedangkan banyak teknik yang baru dan selamat ketika ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Nur@rumah sempena sambutan Hari Ibu peringkat kebangsaan di Kampung Pantai, Beserah dekat sini hari ini.
Shahrizat memberitahu, masih terdapat pasangan suami isteri di negara ini yang kurang menyedari tentang kepentingan merancang jarak kehamilan.
Menurut beliau, kejahilan mengenai perkara itu dikhuatiri akan menyumbang kepada peningkatan kaum ibu yang maut ketika melahirkan anak selain boleh menjejaskan kesihatan anak.
''Di pihak kementerian, kita sama sekali tidak melarang mana-mana pasangan suami isteri yang ingin memiliki anak ramai, tetapi ia perlu dirancang bagi kesejahteraan keluarga," jelasnya.
''Tanpa perancangan yang teliti, tahap kesihatan ibu dan anak mungkin terjejas dan lebih membimbangkan, ia mungkin boleh menyebabkan kematian ketika bersalin akibat tidak tahu perancangan keluarga," jelasnya.
Berdasarkan statistik dunia, katanya, sebanyak 30 peratus daripada 100,000 ibu mengandung mungkin akan meninggal dunia ketika bersalin pada setiap tahun.
Bagaimanapun, tegas beliau, perkara itu boleh dielakkan di negara ini jika setiap pasangan suami isteri mempunyai ilmu pengetahuan mendalam mengenai perancangan keluarga.
MIV ikrar sokongan pada Pakatan Rakyat
2 beberapa jam yang lalu

0 ulasan:
Catat Ulasan