Oleh Sharifah Salwa Syed Akil
KUALA LUMPUR: Petrol baru RON95 bukan saja setanding dengan RON97 dari segi kualiti dan kuasa kelajuan malah lebih menjimatkan sehingga 25 sen seliter, sekali gus dapat mengurangkan bebanan rakyat dalam aspek perbelanjaan bahan api itu.
Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Ahmad Fauzi Ismail, berkata dalam keadaan ekonomi tidak menentu ini, penggunaan RON95 dilihat sebagai satu langkah penjimatan kepada rakyat Malaysia .
“Dari segi saintifik kita dapati RON95 adalah pilihan terbaik kepada pengguna masa kini. Dulu, kita menggunakan RON97 kerana didakwa ia lebih baik berbanding RON95 tetapi selepas penggunaannya kita dapati prestasi dari segi kualiti atau kuasa kelajuan kedua-duanya adalah sama,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Semalam, akhbar melaporkan kerajaan memperkenalkan petrol baru RON95 yang dijual pada harga RM1.75 seliter bagi memastikan rakyat mendapat bekalan bahan api yang lebih berkualiti dan murah.
Mulai 1 September juga, petrol RON92 akan dimansuhkan manakala RON97 dijadikan produk premium dengan harganya dinaikkan 20 sen kepada RM2 seliter.
Prof Ahmad Fauzi berkata, dengan penggunaan RON95 lebih bagus dan setanding RON97 mengapa perlu rakyat mengeluarkan wang yang lebih sedangkan mereka boleh mendapatkan bahan api itu dengan kadar lebih murah.
“Justeru, saya menyokong sepenuhnya tindakan kerajaan memperkenalkan penggunaan Petrol RON95 apatah lagi dalam keadaan ekonomi sekarang di mana rakyat perlu membuat pemilihan yang tepat,” katanya.
Bagaimanapun, Penyelaras Pusat Kecemerlangan Sains dan Teknologi Katalisis, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Taufiq Yap, berkata kerajaan tidak perlu menaikkan harga RON97 memandangkan penggunaannya yang luas di kalangan masyarakat di negara ini.
“Rakyat sudah biasa menggunakan RON97, jadi kita tidak nampak kenapa kerajaan perlu memperkenalkan petrol baru. Lagipun, jika ditanya tahap keupayaan pastinya RON97 lebih bagus dari segi kualiti dan keupayaan berbanding RON95.
Beliau berkata, RON boleh diumpamakan sebagai berapa banyak tenaga terhasil daripada seliter petrol diperlukan bagi menggerakkan kenderaan. Semakin tinggi RON bermakna tahap keupayaan untuk menghasilkan kelajuan juga lebih tinggi dan begitulah sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata, nilai RON yang lebih rendah akan meningkatkan pembebasan bahan tercemar dan berbahaya itu ke udara.
“Kita juga bimbang peningkatan bahan tercemar lain yang turut dihasilkan daripada pembakaran petrol itu seperti sulfur, gas karbon dioksida, nitrogen dioksida dan karbon monoksida,” katanya.
MIV ikrar sokongan pada Pakatan Rakyat
2 beberapa jam yang lalu

1 ulasan:
RON95 patut dijual pada kadar RM1.50 per Liter dan kekalkan RON97 pada harga sekarang sebab harga minyak belum naik, jikalau naik semua barang gurantee naik
Catat Ulasan