Selasa, 16 Jun 2009

Hishammuddin pertahan polis masuk sidang DUN

Laporan Anwar Hussin, Nazura Ngah, Fatin Hafizah Mohd Shahar dan S Anand Kumar


KUALA LUMPUR: Tindakan polis memasuki persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 7 Mei lalu dan membawa keluar bekas Speaker DUN, V Sivakumar selaras peruntukan undang-undang bagi mengelak tercetus huru hara dan kejadian tidak diingini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata tindakan itu hanya dilakukan selepas diminta Bentara DUN yang mendapat arahan Speaker, Datuk R Ganesan selepas keadaan tidak terkawal.

"Apabila Sivakumar berulang kali kali diarah keluar tetapi ingkar, baru Speaker meminta polis masuk dewan untuk mententeramkan keadaan. Tindakan memanggil polis untuk mententeramkan keadaan dan membantu Bentara mengeluarkan Speaker lama dibuat mengikut Perintah 89 dan 90 Perintah Tetap DUN Perak.

"Dakwaan Permatang Pauh (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Beruas (Datuk Ngeh Koo Ham) polis menceroboh tidak benar, sedangkan ia adalah permintaan Speaker. Polis hanya membantu Bentara DUN Perak menjalankan arahan Speaker untuk mengeluarkan Sivakumar bagi memastikan sidang berjalan lancar," katanya menjawab soalan lisan Anwar yang mahu mengetahui kewajaran dan peruntukan undang-undang yang membolehkan polis menceroboh persidangan DUN Perak dan mengheret keluar Sivakumar.

Anwar dalam soalan tambahannya meminta jaminan polis tidak mengambil sikap diskriminasi seperti di DUN Perak di mana-mana DUN dan Parlimen sehingga menjejaskan tugas dan tanggungjawab Yang Dipertua.

Hishammuddin juga berkata, menteri boleh memberi jaminan atas amanah serta tanggungjawab menteri dan Ketua Polis Negara untuk memastikan ketenteraman.

"Apa yang kita lakukan dibuat atas batas perundangan dan permintaan Speaker DUN. Tanggungjawab hakiki atau mutlak berada atas bahu dan kepala Ketua Polis Negara dan menteri berkenaan. Jika Yang Berhormat Permatang Pauh rasa tidak jelas dan ia dilakukan sewenang-wenangnya, ambillah tindakan mahkamah terhadap kami dan kami tidak takut untuk berhadapan dengannya," katanya.

Sementara itu, Hishammuddin pada sidang media berkata, selagi beliau menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri, beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak berhubung soal Perlembagaan dan undang-undang negara.

"Kita semua termasuk wakil rakyat pembangkang tertakluk kepada undang-undang yang sama. Saya berkali-kali beri penjelasan berhubung kejadian DUN Perak.

"Jika pembangkang tidak bersetuju dengan penerangan yang saya berikan dalam dewan, mereka boleh ambil tindakan terhadap Ketua Polis Negara dan saya sendiri," katanya.

0 ulasan: