UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) meminta semua pihak tidak memperbesarkan isu Al- Arqam kerana banyak perkara lain yang perlu difokuskan ketika ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz (gambar) berkata, Al-Arqam telah lama luput dan tidak perlu memberi banyak perhatian kepada mereka.
"Orang ramai sudah lupa kepada mereka dan mereka tiada lagi pengikut apabila kerajaan mengharamkan kumpulan tersebut pada tahun 1994.
"Diharap orang ramai tidak terpengaruh dengan kumpulan Al-Arqam walaupun ada pihak cuba untuk menghidupkan kembali kumpulan ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia mengenai wujud pihak tertentu yang dipercayai cuba mengembalikan gerakan Al-Ar qam menerusi klip video yang dimuat naik ke laman web YouTube.
Semalam Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilaporkan berkata, kementeriannya tidak akan berkompromi dengan sesiapa saja yang cuba menggerakkan semula ajaran Al-Arqam.
Sementara itu, Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadut berkata, orang ramai dinasihatkan tidak terpengaruh dengan kumpulan Al-Arqam kerana ia merugikan mereka.
"Amalan yang diamalkan oleh kumpulan ini bercanggah dengan akidah, tauhid dan kepercayaan sebenar agama Islam.
"Dibimbangi perbuatan mereka adalah syirik dan menyebabkan pengikutnya terpesong daripada ajaran Islam sebenar," katanya.
Beliau yang juga bekas Mufti Johor berkata, pihak berkuasa seperti Kementerian Dalam Negeri dan jabatan-jabatan agama perlu menyiasat segera jika terdapat pihak yang cuba menghidupkan kembali kumpulan itu.
Tambah beliau, siasatan perlulah menyeluruh dan sekiranya terbukti ada pihak yang cuba menghidupkan semula pekara ini tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka.
"Tindakan yang diambil perlu memastikan kumpulan yang diharamkan ini tidak lagi wujud kerana ia akan menyesatkan umat Islam dan mengancam keselamatan negara," menurutnya.
Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria pula berkata, kumpulan ini telah diharamkan oleh kerajaan dan segala bentuk menghidupkan kembali salah di sisi undang-undang.
"Jika terdapat pihak cuba membangkitkan kumpulan ini maka mereka haruslah dikenakan hukuman yang berat," katanya.
Menurut beliau, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera agar kumpulan ini tidak ditubuhkan lagi serta tidak menyesatkan umat Islam di negara ini.
Masyarakat India bakal tolak BN dalam PRU13
4 beberapa jam yang lalu

0 ulasan:
Catat Ulasan