Rabu, 17 Jun 2009

KDN timbang ISA cegah PKPM

Oleh ARSHAD KHAN


KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri sedang menimbang untuk menggunakan beberapa bentuk undang-undang pencegahan di bawah bidang kuasanya untuk memastikan cubaan menghidupkan kembali Pasukan Khas Persekutuan Malaysia (PKPM) tidak mencapai objektifnya.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menggunakan semua bentuk undang-undang pencegahan termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) jika perlu.

Jelasnya, pihak beliau melihat tindakan menghidupkan kembali PKPM sebagai satu kesalahan baru dan tidak berkaitan dengan kesalahan sama yang pernah dilakukan sebelum ini.

''Gerakan barunya itu sekarang akan diteliti dalam konteks dan kaca mata yang lain. Bermakna kalau jejaskan keselamatan dan jejaskan kedudukan pihak-pihak berkuasa, saya dan pihak polis telah nyatakan kita tidak akan berkompromi.

''Kita akan gunakan apa-apa sahaja undang-undang yang ada, tidak semestinya ISA, kita mempunyai banyak undang-undang untuk pastikan perkara seperti ini tidak berleluasa,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menutup Pertandingan Menembak International Practical Shooting Confederation (IPSC) di Briged Tengah Pasukan Gerak Am, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Hishammuddin mengulas usaha menghidupkan semula PKPM yang berjaya ditumpaskan oleh Polis Bukit Aman apabila 36 lelaki termasuk dalang utamanya diberkas dalam serbuan di ibu pejabat pertubuhan haram itu di Jalan GJ, Batu 6, Taman Gombak Jaya, di sini kelmarin.

PKPM menggunakan slogan Bersatu Membanteras dan Menentang Musuh Negara dan pernah dilumpuhkan oleh polis enam tahun lalu dengan tertangkap ketuanya, Nor Azami Ahmad Ghazali yang mendakwa berpangkat 'jeneral' dan berhasrat menjadi Perdana Menteri.

Hishammuddin menjelaskan, Nor Azami kini sedang menghadapi kes mahkamah akibat kesalahan mewujudkan PKPM pada tahun 2003 dan telah dipanggil untuk membela diri.

Beliau juga menyeru kepada masyarakat agar jangan mudah terpengaruh dengan kumpulan-kumpulan seperti PKPM.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah bahawa Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa untuk membubarkan Parti Progresif Penduduk (PPP), Hishammuddin berkata, Murugiah boleh berkata apa sahaja tetapi beliau tidak akan menyalahgunakan kuasanya.

Katanya, memang benar Menteri Dalam Negeri memiliki beberapa bidang kuasa tertentu tetapi beliau akan hanya menggunakannya jika wujud soal keselamatan melibatkan rakyat dan negara ini sahaja.

''Saya ada banyak kuasa di bawah akta berkenaan tetapi kuasa itu mesti diguna bersandarkan kepada siasatan yang adil, saksama dan tindakan yang bijaksana,'' katanya.

Kata Hishammuddin, beliau telah meminta pegawai-pegawai pendaftaran pertubuhan (ROS) agar menjalankan siasatan sebaik mungkin dalam isu PPP itu.

''Kalau hendak keputusan yang segera, semua pihak perlu memberikan kerjasama yang terbaik kepada ROS,'' katanya.

0 ulasan: