BERITA HARIAN ONLINE
KUALA LUMPUR: Semua majikan yang menggaji pembantu rumah warga asing diwajibkan memberi cuti rehat sehari dalam seminggu atau menggantikan dengan bayaran gaji sehari, berkuat kuasa akhir tahun ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk S Subramaniam, berkata pihaknya kini pada peringkat akhir penyediaan deraf peraturan baru itu mengikut Akta Kerja 1955 sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.
Katanya, menerusi peraturan baru itu, majikan yang gagal mematuhinya boleh dikenakan denda RM10,000.
Beliau berkata, perkara itu akan termaktub dalam kontrak pekerjaan yang akan ditandatangani antara majikan, pekerja dan agensi yang membawa masuk pekerja asing.
“Ini antara pendekatan baru untuk menjaga kebajikan pembantu rumah, selain mengurangkan kejadian salah laku majikan terhadap pekerja asing. Bagaimanapun, majikan dan pembantu rumah boleh membuat persetujuan untuk menggantikan cuti dengan gaji,” katanya selepas menghadiri perbincangan isu berkaitan pekerja asing di sini, semalam.
Beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) baru-baru ini mencadangkan pemberian cuti, berikutan kes dera pembantu asing warga Indonesia, Siti Hajar.
Subramaniam berkata, dengan peraturan itu majikan juga diwajibkan mendaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja sebaik menggaji pembantu rumah.
Selain itu, majikan, pembantu rumah dan agensi pekerja asing juga perlu menandatangani surat perakuan mengandungi maklumat terperinci termasuk nama dan tempat kerja majikan serta gaji pembantu rumah.
“Majikan yang ingin menyimpan pasport pembantu rumah juga perlu membuat perjanjian bertulis mengenainya dan memberikan persetujuan memberikan pasport kepada pekerjanya jika ada kecemasan atau pulang ke negara asal,” katanya.
Bercakap pada majlis lain selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Persekutuan Pengangkutan Awam Antarabansga (ITF) Kawasan Asia Pasifik Kali Ketujuh di sini, Subramaniam berkata, kementeriannya akan mewujudkan satu unit khas untuk bertindak sebagai penasihat, kaunselor dan penguat kuasa untuk menjaga kebajikan dan mengawasi pembantu rumah asing daripada menjadi mangsa penderaan majikan.
“Unit ini akan membuat lawatan rambang ke rumah majikan yang menggunakan pembantu rumah asing bagi memastikan pekerja mereka berada dalam keadaan baik.
“Pembantu rumah akan turut diberi buku garis panduan mengandungi maklumat mengenai nombor telefon Jabatan Tenaga Kerja dan kedutaan negara bagi memudahkan mereka membuat aduan dengan cepat jika ada masalah dengan majikan,” katanya.
Subramaniam berkata, laporan penderaan pembantu rumah oleh majikan Malaysia adalah rendah iaitu kurang 50 kes jika bandingkan dengan 300,000 pembantu rumah.
Mengenai penentuan gaji minimum RM600 kepada pembantu rumah, katanya, perkara itu belum diputuskan dan hanya dibincangkan selepas keadaan ekonomi negara pulih.
Masyarakat India bakal tolak BN dalam PRU13
4 beberapa jam yang lalu

0 ulasan:
Catat Ulasan