Selasa, 16 Jun 2009

Polis surai perhimpunan warga Iran

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata bagi menyuraikan kekecohan yang ditimbulkan kira-kira 700 warga Iran majoritinya pelajar institusi pengajian tinggi di negara ini, yang membantah kemenangan Presiden Mahmoud Ahmadinejad pada pilihan raya presiden Jumaat lalu, di pekarangan Wisma UN, di Jalan Semantan, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata pihaknya dimaklumkan pihak penganjur mereka hanya ingin menghantar memorandum ke pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), di sini dan akan beredar selepas berbuat demikian, jam 4 petang.

Katanya, permintaan mereka itu dipersetujui pegawai UN tetapi selepas setengah jam menyerahkan memorandum itu, penganjur enggan beredar dan cuba mengadakan perhimpunan haram berikutan peningkatan penunjuk perasaan yang hadir.

"Polis memberi amaran kepada mereka untuk beredar dan sebahagiannya akur dengan arahan itu. Namun ada segelintir mereka cuba melawan dan bertindak radikal sebelum bergerak dalam kumpulan besar dengan membawa poster ke arah Wisma Perintis bersebelahan Wisma UN.

"Berikutan keengganan mereka dan beberapa kali amaran diberi, akhirnya polis terpaksa melepaskan empat das pemedih mata dan lima bom asap ke arah penunjuk perasaan," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Abdul Bari berkata, pihaknya terpaksa melepaskan gas dan bom pemedih mata kerana tindakan mereka yang keterlaluan hingga mengganggu orang awam pulang dari bekerja termasuk mengganggu pelajar sebuah universiti berhampiran.

0 ulasan: