Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
PORT DICKSON - Kementerian Pelancongan berharap kerajaan menarik balik tindakan kuarantin ke atas pelancong asing yang demam atau selesema berikutan kebimbangan jangkitan selesema babi atau influenza A (H1N1).
Menterinya, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen (gambar) berkata, penarikan balik tindakan kuarantin itu perlu memandangkan trend peningkatan bilangan pelancong, dengan bulan Jun lalu saja meningkat 7.5 peratus membabitkan 2.208 juta orang.
Sehubungan itu, tegasnya, pelancong yang hanya selesema dan demam biasa ketika pemeriksaan di pintu masuk terutama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak perlu dikuarantin kerana ia boleh menjejaskan sektor pelancongan negara ini.
"Kehadiran pelancong dalam tempoh enam bulan pertama ini telah meningkat 3.5 peratus kepada 11.346 juta orang berbanding 10.963 juta orang pada 2008.
"Oleh itu, saya lihat Malaysia sebuah negara yang selamat untuk dikunjungi. Sebab itulah saya berharap kuarantin yang dikenakan kepada pelancong yang mengalami selesema sederhana ditarik balik. Tidak perlulah," katanya di sini hari ini.
Yen Yen berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hotel Thistle Port Diskson di sini hari ini.
Menurut Yen Yen, berikutan tindakan kuarantin oleh kerajaan pada masa ini, pihaknya memanggil pulang semua 44 Pengarah Tourism Malaysia di luar negara bagi membolehkan mereka diberi penjelasan mengenai isu H1N1 ini serta impaknya kepada pelancongan negara.
"Saya telah memperjelaskan kepada semua Pengarah Tourism Malaysia terbabit bahawa bilangan pelancong ke Malaysia semakin meningkat walaupun ada kebimbangan berhubung wabak H1N1," kata beliau.
Dalam pada itu, tambahnya, ketika ini memang berlaku kemerosotan jumlah pelancong dari China, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan tetapi pelancong Amerika dan negara lain menunjukkan peningkatan.
"Memang ketika ini mana-mana negara pun berdepan satu cabaran besar untuk mengekang ancaman H1N1 dan mengembalikan keriangan di negara mereka melalui pelancongan.
"Keadaan lebih sukar lagi kerana ancaman itu berlaku ketika ekonomi dunia dilanda kemelesetan dan itu menyebabkan keyakinan pelancong terhadap negara yang hendak dilawati menurun," ujarnya.
Sementara itu semua Pengarah Tourism Malaysia di luar negara diarah mengemukakan tiga strategi pemasaran untuk menarik pelancong asing ke negara ini.
Katanya, menjadi tanggungjawab pengarah di 44 negara terbabit mengemukakan kehendak dan keperluan pelancong supaya dapat digunakan untuk menjadikan lokasi pelancongan dalam negara lebih menarik.
Yen Yen juga mahu pengarah terbabit memproses sendiri risalah mengikut gaya mereka di luar negara asalkan ia mampu menarik kehadiran pelancong ke negara ini.
"Tiada gunanya saya hantar risalah dari Malaysia ke China sedangkan saya tidak tahu apa sebenarnya yang mereka mahu tahu mengenai negara ini," katanya.
Dalam pada itu, bermula 2010, corak promosi destinasi dan produk pelancongan Malaysia akan berubah dengan pengenalan melalui zon utara, timur, tengah, barat dan Sabah/Sarawak
Budaya Ganas Semakin Menular Menjelang Pru 13
45 saat yang lalu

0 ulasan:
Catat Ulasan