BERNAMA
KOTA BAHARU -- Kerajaan bercadang mengkaji bagi mengenakan denda terhadap pemohon yang gagal mengambil Kad Pengenalan Pintar (MyKad) dalam tempoh yang ditentukan, untuk memberikan kesedaran betapa pentingnya menuntut kad pengenalan tersebut.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop berkata kerajaan terpaksa menanggung kos yang tinggi bagi membuat MyKad dan sewajarnya pemohon bertanggungjawab menuntut MyKad setelah siap dalam tempoh yang ditentukan.
"Di Kelantan sahaja lebih 16,000 MyKad yang tidak dituntut dan ini satu budaya yang tidak sihat. Sudah jadi satu pembaziran dan kerajaan merayu agar setiap pemohon bertanggungjawab untuk menuntutnya.
"Sebab itu kerajaan bercadang untuk mengkaji undang-undang yang boleh mengenakan denda terhadap pemohon ingkar ini pada masa depan," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) cawangan Kelantan di sini, Selasa.
Kos membuat sekeping MyKad adalah RM28 dan disiapkan dalam tempoh tiga minggu selepas permohonan.
Mengenai MyKad yang hilang tetapi dijumpai semula, Abu Seman berkata pemohon MyKad yang telah menjumpai semula MyKad lamanya perlu memaklumkan kepada JPN untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu kerajaan juga sudah menubuhkan satu pasukan petugas di Kelantan bagi menangani masalah kelewatan permohonan mendapatkan taraf kerakyatan Malaysia bagi kira-kira 2,000 rakyat Thailand.
Katanya kerajaan tidak sewenang-wenangnya memberikan taraf kerakyatan itu walaupun mereka mempunyai MyKad merah kerana ada beberapa prosedur yang perlu dipatuhi sebelum memberikannya taraf tersebut.
Mengulas penahanan sembilan kakitangan Jabatan Imigresen termasuk lima pegawai kanannya dalam satu operasi khas di beberapa lokasi sekitar Johor, Jumaat lalu kerana disyaki mendalangi kegiatan sindiket penyeludupan manusia, Abu Seman meminta perkara itu diserahkan kepada polis untuk siasatan selanjutnya.
"Kita serahkan sahaja kepada polis untuk mengambil tindakan dan bagi pihak kita, tindakan tegas juga akan diambil sekiranya terbukti perkara seperti itu berlaku.
"Kerajaan memang ambil serius perkara seperti itu dan akan mengambil langkah perlu bagi menangani masalah yang boleh mencemarkan imej negara," katanya.
Selain itu kerajaan juga tidak pernah bercadang untuk mengkaji bayaran RM300 yang dikenakan bagi permohonan mendapatkan pasport atau memperbaharuinya.
Budaya Ganas Semakin Menular Menjelang Pru 13
1 minit yang lalu

0 ulasan:
Catat Ulasan