Sabtu, 11 Julai 2009

Kereta NGV ibarat peluru berpandu

BERNAMA


PETALING JAYA - Beribu-ribu buah kereta di jalan raya yang menggunakan gas asli sebagai bahan api diibaratkan seperti "peluru berpandu bergerak dengan bom," menurut Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM).

Setiausaha agung persatuan itu S. Piarapakaran berkata kereta berkenaan diibaratkan seperti itu kerana pemilik kenderaan tersebut ke bengkel-bengkel haram dan mekanik yang tidak berkelayakan untuk memasang tangki gas berkenaan di kereta mereka.

Beliau berkata penyelidikan WECAM menunjukkan bahawa hanya untuk menjimatkan beberapa ringgit, pemilik sanggup mengabaikan aspek keselamatan dengan menggunakan bahan dan hasil kerja yang tidak baik untuk dipasang di kereta mereka dengan tangki gas asli.

Malahan tidak ada badan yang cekap di negara ini untuk mengawal dan memantau kenderaan gas asli (NGV), katanya kepada Bernama.

Oleh kerana gas adalah bahan mudah terbakar, katanya pemasangan tangki gas yang tidak baik dengan hos getah bocor dengan mudahnya boleh menyebabkan letupan semasa perlanggaran.

"Bayangkan kemusnahan pada alam sekitar dan kehilangan nyawa jika kenderaan itu melalui lebuh raya yang sibuk," kata Piarapakaran.

Beliau menggesa kerajaan mengambil langkah segera untuk mengurangkan bahaya akibat pemasangan tangki gas yang tidak mengikut peraturan.

Setiausaha agung itu mencadangkan agar polis trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) apabila menjalankan pemeriksaan trafik hendaklah juga mendapatkan bantuan daripada SIRIM dan badan yang berkelayakan untuk memantau NGV.

Persatuan itu juga mencadangkan:

* Pemeriksaan dan penguatkuasaan berkala terhadap ciri-ciri keselamatan NGV.

* Menggunakan alat gantian tulen

* Mengurangkan kos pemasangan tangki gas oleh penjual yang dibenarkan

* Mengadakan sistem pendaftaran yang baik bagi menentukan bilangan NGV dengan tepat.

0 ulasan: