Ahad, 12 Julai 2009

Keupayaan DBP, institut terjemahan dipertingkat

Oleh Magendran Rajagopal


KUALA LUMPUR: Keupayaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) akan dipertingkatkan bagi memperkasa bahasa Malaysia untuk memastikan ia tiada ketandusan istilah bacaan atau rujukan dalam semua bidang, baik akademik mahu pun kerjaya.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pendekatan itu selaras dengan perubahan dasar kerajaan Rabu lalu bagi memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

“Kita mahu perbendaharaan kata dalam bahasa Malaysia, terutama dalam subjek Sains, Teknologi dan Matematik meliputi semua istilah. Kita juga mahu mempercepatkan proses ini menerusi DBP dan ITNM walaupun ia memerlukan Kementerian Pelajaran menyediakan peruntukan yang besar.

“Pada masa sama, penulisan berbahasa Malaysia yang berhubung kait dengan Sains Teknologi dan Matematik akan dipertingkatkan. Selain penterjemahan buku rujukan, kita juga mungkin menulis buku baru menggunakan bahasa Melayu.

“Butiran terperinci akan diumumkan Ketua Pengarah Pelajaran tetapi kita mulakan langkah susulan untuk memperkukuhkan pelaksanaan fasa baru ini,” katanya selepas melancarkan program 1Malaysia anjuran Kementerian Pelajaran di Taman Tasik Titiwangsa, di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Program khusus bagi pelajar sekolah itu merangkumi tiga peringkat iaitu Jejak 1Malaysia: Indahnya Bandarayaku membabitkan 7,200 pelajar pelbagai kaum dari kawasan pedalaman dibawa melawat tujuh bandaraya di seluruh Semenanjung.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata penerapan semangat 1Malaysia harus bermula pada peringkat sekolah rendah lagi supaya keharmonian dan perpaduan kaum lebih mudah dihayati pelajar dan berkekalan apabila mereka meningkat dewasa.

Mengenai pengisian komponen baru berikutan pemansuhan PPSMI, Muhyiddin berkata, Ketua Pengarah Pelajaran akan menghuraikannya secara terperinci pada masa terdekat mengenai pengambilan guru, kurikulum, kesusasteraan dan tatabahasa.

Dari segi pembelajaran bahasa Inggeris pula, katanya, tempoh atau jadual waktu akan ditambah hampir 100 peratus di sesetengah sekolah rendah. Ini bermakna purata pengisian sekarang yang tidak sampai 14 peratus akan ditambah sehingga sekurang-kurangnya 30 peratus.

0 ulasan: