Rabu, 8 Julai 2009

Kimma berdepan krisis dalaman?

UTUSAN ONLIN


KUALA LUMPUR - Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) kini berdepan dengan keretakan dalaman ekoran pemecatan Pengerusi Wilayah Persekutuan, Mohd. Fazil William Abdullah pada 30 April lalu.

Pemecatan yang dilakukan oleh Presiden Kimma, Syed Ibrahim Kader itu ternyata mendapat reaksi kurang senang oleh Fazil.

Fazil mendakwa, pemecatan tersebut adalah tidak sah berdasarkan perlembagaan Kimma yang didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Ujarnya, perlembagaan telah menetapkan, pelantikan bagi empat jawatan di peringkat negeri iaitu pengerusi, timbalan pengerusi, setiausaha dan bendahari yang mana kesemua jawatan itu perlu dilantik oleh ahli negeri secara undi rahsia.

''Pemilihan tersebut dijalankan pada Mesyuarat Agung Tahunan Peringkat Negeri dan Presiden Kimma atau mana-mana jawatankuasa pusat tidak boleh memecat atau menggantikan ahli di peringkat negeri,'' katanya kepada Utusan Malaysia semasa mengadakan mesyuarat khas mengenai pemecatannya di sini baru-baru ini.

Mesyuarat itu turut dihadiri Pengerusi Kimma Terengganu, Mohamed Salahudin Mohamed Shahabudin, Pengerusi Kimma Kelantan, Mohamed Sultan Oli Muhamed bersama 30 ahli jawatankuasa dari tiga negeri tersebut.

Menurut Fazil, Presiden Kimma telah melanggar perlembagaan kongres apabila memecatnya dan melantik Mohammad Mosin Abdul Razak sebagai Pengerusi Kimma Wilayah Persekutuan yang baru.

''Pelantikan itu tidak sah dan melanggar perlembagaan kongres. Bagi kami, saya masih memegang jawatan Pengerusi Kimma Wilayah Persekutuan'' katanya.

Kimma ditubuhkan pada tahun 1976 untuk menjaga kepentingan dan kebajikan kaum India Muslim.

Difahamkan, Kimma telah cuba sebanyak enam kali untuk menyertai Barisan Nasional (BN) tetapi ditolak kerana BN sudah mempunyai satu parti yang mewakili kepentingan kaum India.

Sementara itu, pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Kimma pada 26 April lalu, Syed Ibrahim turut memecat Fazil sebagai Timbalan Setiausaha Agung Kimma.

Tambahnya, AGM tersebut mendapat bantahan daripada tiga orang pengerusi negeri kerana tiada notis sekurang-kurangnya 28 hari yang telah termaktub dalam Perlembagaan Kimma dihantar kepada mereka.

Beliau seterusnya berkata, tiada Laporan Tahunan dan Kewangan dihantar kepada semua perwakilan sebelum tujuh hari dari tarikh mesyuarat diadakan.

''Bantahan telah dibuat kepada ROS dan perkara itu perlu diteliti supaya salah laku Presiden Kimma diambil tindakan sewajarnya,'' kata beliau.

0 ulasan: