Oleh Zulkofli Jamaludin, Ismail Mat, Khairul Anuar Abd Samad, Wan Faizal Ismayatim, Nor Fazlina Abdul Rahim, Tuan Kub Tuan Mat, Ramli Hussin dan Betty Subaryati
KUALA KRAI: Kerajaan Pusat menyalurkan peruntukan pembangunan berjumlah RM24 juta untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir yang juga kubu kuat Pas dalam Parlimen Pasir Mas, selepas Barisan Nasional (BN) menang pilihan raya kecil kawasan DUN itu pada 2005.
Peruntukan itu termasuk RM1.3 juta untuk membaik pulih dan penyelenggaraan masjid; baik pulih dan bina rumah penduduk miskin (RM1.3 juta), pembinaan parit baru bagi mengelak banjir (RM18 juta), lampu jalan dan kemudahan asas (RM768,000) dan membaiki jalan kampung (RM1 juta).
Pengerusi BN Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed, sebaliknya menegaskan, janji untuk membina dua kemudahan infrastruktur iaitu jejambat landasan kereta api dan pasar awam Pasir Mas sebenarnya dibuat oleh Kerajaan Pas Kelantan.
“Semua pemimpin Pas perlu menyemak fakta mereka apabila mahu melemparkan tuduhan mendakwa BN gagal memenuhi janji yang dibuat termasuk dalam hal janji selepas BN menang di Pengkalan Pasir.
“Yang terbukti, selepas kemenangan BN di Pengkalan Pasir, masjid berubah wajah menerusi projek baik pulih yang memudahkan jemaahnya beribadat; ramai penduduk miskin mendapat faedah menerusi baik pulih atau membina semula rumah mereka.
“Sistem saliran yang dibaiki pula membantu mengatasi banjir, manakala projek jalan kampung dan lampu jalan memudahkan urusan harian seluruh penduduk,” katanya pada sidang media di Pusat Operasi BN dekat Sungai Sok, semalam.
Malam kelmarin, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohamad Sabu, ketika berceramah di Cuchoh Puteri A, mendakwa BN gagal membina pasar awam dan jejambat kereta api untuk penduduk Pasir Mas seperti dijanjikan selepas menang di DUN Pengkalan Pasir pada 2005.
Berdasarkan kegagalan memenuhi janji melaksanakan projek itu, Mohamad meminta agar penduduk Manek Urai tidak mengundi BN pada pilihan raya kecil ini dan menolak janji pembangunan ditawarkan BN.
Projek jejambat merentasi landasan kereta api Pasir Mas yang dimulakan ketika kempen pilihan raya kecil Pengkalan Pasir berjalan perlahan walaupun sudah lima tahun pembinaannya manakala projek pasar awam Pasir Mas sehingga kini belum dimulakan.
Berikutan fitnah pemimpin Pas itu, BN kini menyebarkan risalah menerangkan fakta sebenar kepada penduduk Manek Urai, berhubung sumbangan BN kepada seluruh penduduk Pengkalan Pasir sepanjang tempoh diberi mandat memerintah pada 2005 hingga 2008.
Budaya Ganas Semakin Menular Menjelang Pru 13
1 minit yang lalu

0 ulasan:
Catat Ulasan