UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyifatkan penubuhan Suruhanjaya Diraja Kaji Peraturan Soal Siasat SPRM dan inkues awam berkaitan kematian sebagai langkah tepat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan percaya penubuhan suruhanjaya itu dapat memintas dakwaan, manipulasi dan spekulasi sesetengah pihak terhadap SPRM sehingga keputusan dibuat oleh kedua-dua badan tersebut.
"Apa-apa keputusan dan tindakan kerajaan adalah untuk mencari kebenaran dan bukannya menganiaya mana-mana pihak," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Di Raja dengan terma-terma tertentu untuk mengkaji peraturan soal siasat yang digunapakai oleh SPRM semasa melakukan soal siasat terhadap mendiang Beng Hock.
Najib juga mengarahkan supaya inkues kematian Teoh dimulakan minggu depan untuk menentukan punca sebenar kematian mendiang.
Kematian Beng Hock, 30, menimbulkan banyak persoalan kerana ketika mayatnya ditemui pukul 1.30 petang pada 16 Julai lalu, mendiang baru 10 jam selesai disiasat di pejabat SPRM di bangunan itu sebagai saksi berhubung dakwaan penyalahgunaan wang kerajaan negeri.
Mengulas lanjut, Ahmad Said berkata, beliau menerima dan menyokong penuh keputusan kerajaan.
Beliau yakin kebenaran berhubung kematian mendiang Beng Hock akan terbukti akhirnya.
"Semua orang pun nak tahu, apa yang berlaku. Saya sendiri pun nak tahu juga. Tak kisahlah siapa yang siasat, asalkan orang ramai mengetahui kebenarannya," ujarnya.
Budaya Ganas Semakin Menular Menjelang Pru 13
1 minit yang lalu

0 ulasan:
Catat Ulasan