Oleh Johan Afandi
NUSAJAYA: Lebih 100 penternak ayam di negeri ini, semalam bertindak melepaskan kira-kira 4,000 ekor anak ayam di hadapan Pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri Kota Iskandar berikutan tidak berpuas hati dengan insentif diterima.
Penternak ayam berkenaan mahu JPV turut menyediakan insentif wang tunai berdasarkan jumlah pengeluaran kepada mereka seperti yang diterima pengusaha ternakan lain seperti ayam telur, lembu, kambing dan itik.
Seorang wakil Persatuan Penternak Kecil dan Sederhana Ayam Daging Batu Pahat, Gan Heng Kok, 50, berkata bantahan berkenaan diadakan buat kali kedua berikutan persatuan itu tidak menerima sebarang maklum balas daripada JPV atau Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani membabitkan permohonan dikemukakan sebelum ini.
Beliau berkata, ketika perbincangan diadakan antara kumpulan penternak dan Pengarah JPV Johor, Datin Paduka Dr Fauziah Embong Jun lalu, pihaknya difahamkan akan diberi jawapan dalam tempoh masa dua minggu.
“Kini tempoh masa diberikan sudah melebihi dua minggu, tetapi JPV atau pihak kementerian enggan mengulas mengenai status permohonan terbabit.
“Ia seolah-olah menunjukkan sikap lepas tangan terhadap penternak ayam daging yang mempunyai ladang ternakan ayam daging yang kapasitinya melebihi 20,000 ekor,” katanya di sini, semalam.
Tindakan kumpulan penternak berkenaan melepaskan anak ayam itu kira-kira jam 10.30 pagi, bukan saja menimbulkan gangguan pada operasi pejabat terbabit, tetapi mengakibatkan puluhan anak ayam yang dibawa dengan menggunakan lori mati terkena air hujan.
Sepasukan anggota polis turut ditempatkan di kawasan terbabit bagi mengawal keadaan dan kumpulan penternak itu bersetuju bersurai kira-kira jam 1 tengah hari.
Seorang penternak ayam daging dari Bukit Kepong, Lau Ka Leng, 30, berkata bagi pengusaha sepertinya, pembayaran insentif pengeluaran ditetapkan itu dengan mengira saiz kapasiti ladang ternakan menjadi keputusan yang tidak adil memandangkan kos ternakan ayam semakin meningkat.
Beliau berkata, pada Mei tahun lalu, kementerian mengumumkan pemberian insentif pengeluaran makanan kepada pengusaha pertanian, namun pada hujung Jun tahun lalu, ladang ternakan ayam daging yang kapasitinya melebihi 20,000 ekor digugurkan daripada senarai penerima insentif itu.
“Pada awal Jun lalu, kami membatalkan hasrat untuk membakar anak ayam di Batu Pahat selepas menerima panggilan telefon daripada Pengarah JPV yang berjanji akan membantu menyelesaikan isu pembayaran insentif pengeluaran itu,” katanya.
Budaya Ganas Semakin Menular Menjelang Pru 13
1 minit yang lalu

0 ulasan:
Catat Ulasan