Khamis, 9 Julai 2009

Manoharan enggan pakai songkok

Bekas tahanan ISA mahu status Bumiputera

Oleh Tuan Nazuri Tuan Ismail


SHAH ALAM: M Manoharan yang dibebaskan dari tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 9 Mei lalu, enggan memakai songkok dan berbaju kebangsaan walaupun menghadiri majlis rasmi dihadiri Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Alam Shah itu berkata, beliau tidak akan memakai pakaian yang beridentiti atau bercirikan kemelayuan sebagai protes terhadap kerajaan yang enggan memberi status Bumiputera kepada bukan Melayu.

"Saya tidak akan pakai songkok atau baju Melayu dalam apa jua acara, termasuk majlis rasmi yang dianjurkan kerajaan negeri dan dihadiri Sultan Selangor.

"Saya akan pakai jika kerajaan berikan status Bumiputera kepada bukan Melayu. Saya akan pakai pakaian rasmi seperti biasa," katanya ketika ditemui di lobi Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, semalam.

Ini kali pertama Manoharan menghadiri sidang selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Mac tahun lalu kerana ditahan di Pusat Tahanan Kamunting selepas terbabit dalam pertubuhan haram, Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf).

Manoharan mengulangi desakan menuntut kerajaan memberikan taraf Bumiputera kepada bukan Melayu yang lahir selepas 31 Ogos 1957.

"Ini akan merealisasikan konsep 1Malaysia yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menekankan kesamarataan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum," katanya.

0 ulasan: