BERITA HARIAN ONLINE
KUBANG PASU: Datuk Seri Najib Razak menolak andaian beliau akan mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-13 dalam masa terdekat.
Perdana Menteri berkata, beliau tidak nampak keperluan mengadakan pilihan raya umum sekarang kerana mandat kerajaan yang ada masih panjang, selain banyak tugas penting yang perlu dilaksanakan.
Najib berkata, beliau menerima e-mel memetik kenyataan pemimpin pembangkang yang meramalkan beliau akan mengadakan pilihan raya umum dalam tempoh terdekat berikutan sokongan rakyat yang semakin meningkat kepada Barisan Nasional (BN).
“Saya tertarik kenyataan pemimpin pembangkang menerusi blog dan e-mel yang mendakwa saya mungkin akan mengadakan pilihan raya umum mengejut kerana kedudukan kita (BN) bertambah baik dan ada momentum untuk kita berbuat demikian.
“Jadi mengikut penilaiannya, mungkin disebabkan perkara itu saya terdorong untuk mengumumkan pilihan raya mengejut... saya berasa pandangan itu agak melucukan,” katanya pada sidang media pada Majlis Bersama Rakyat di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tulisan Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam blognya mengenai kemungkinan Najib akan membubarkan Parlimen lebih awal bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-13 diadakan sebelum mandat tamat.
Lim yakin Najib akan mengadakan pilihan raya umum lebih awal berikutan kajian yang mendapati tahap populariti kerajaan pimpinannya mencapai tahap 65 peratus.
Lim juga tidak menolak kemungkinan sokongan rakyat terhadap kepemimpinan Najib meningkat kepada 80 hingga 85 peratus dalam tempoh dua bulan lagi.
Najib ketika ditanya sama ada pandangan pemimpin pembangkang itu adalah perangkap berkata, perkara itu tidak menjadi masalah kerana beliau tidak akan membuat keputusan dengan terburu-buru.
“Saya serahkan kepada rakyat untuk menilai kedudukan (BN) ketika ini, kerana bagi saya yang penting adalah penilaian rakyat bukan penilaian saya,” katanya.
Ditanya sama ada BN berpeluang merampas semula Kedah pada pilihan raya umum akan datang, beliau berkata, parti menerusi pemimpin perlu bekerja kuat untuk mendekati rakyat bagi merealisasikan harapan itu.
Dalam ucapannya pada majlis itu, Najib berkata, beliau bersikap adil kepada semua kaum kerana ia adalah tuntutan dunia dan akhirat.
“Saya perdana menteri untuk semua dan kita (BN) akan bersikap adil untuk semua kaum, kita tolong semua kaum, kita tolong orang Melayu yang miskin.
“Orang India miskin kita mesti tolong, orang Cina yang kita anggap kaya pun ada yang miskin dan kita tolong, orang Siam miskin pun kita tolong,” katanya.
Salehuddin Disambut Meriah Masyarakat Cina Johor
59 saat yang lalu

0 ulasan:
Catat Ulasan