Selasa, 21 Julai 2009

Nasib Mirza Jumaat ini

MYMETRO


KUALA LUMPUR: Nasib bekas Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohamad Taiyab Beg Mirza Hadi Hassan Beg diketahui Jumaat ini sama ada dia dilepas atau disabitkan tuduhan rasuah membabitkan rawatan pergigian bernilai RM13,860.

Hakim Zainal Abidin Kamarudin menetapkan tarikh itu selepas kedua-dua pihak selesai membuat hujah masing-masing di akhir kes pendakwaan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Terdahulu, peguam bela Saseedharan Menon membuat hujahan balas memberitahu mahkamah, bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan pertuduhan menyetujui terima rasuah ke atas tertuduh berikutan tidak memanggil dua saksi penting memberi keterangan.

Menurutnya, pengadu dalam kes itu iaitu Pegawai Penyiasat dari Badan Pencegah Rasuah (yang kini dikenali sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), Zamri Zainal Abidin memainkan peranan penting dalam kes berkenaan kerana Zamri pegawai terbabit proses penyiasatan.

“Kenapa Zamri tak dipanggil sedangkan dia orang bertanggungjawab menjalankan siasatan dalam kes ini.

“Selain itu, Noranidah Omar individu yang bertanggungjawab menandatangani cek RM13,860 tidak dipanggil untuk beri keterangan di mahkamah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Kevin Morais berhujah Zamri bukanlah saksi penting yang perlu beri keterangan dalam mahkamah.

0 ulasan: