Jumaat, 17 Julai 2009

Obama puji pilihanraya Indon 'bersih dan adil'

Agensi


WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, kelmarin memuji pilihan raya Presiden Indonesia yang disifatkan sebagai 'bebas dan adil'.

Dr Susilo Bambang Yudhoyono memenangi pilihan raya itu minggu lalu dan mengekalkan jawatannya bagi penggal kedua.

'Rakyat Indonesia telah mengadakan pilihan raya yang bebas dan adil pada 8 Julai lalu dan Presiden Yudhoyono telah memenangi semula pilihan raya itu dengan hebat.

'Saya ingin mengucapkan tahniah secara peribadi kepada Presiden Yudhoyono dan menjelaskan keinginan Amerika mahu bekerjasama dengan beliau dan rakyat Indonesia dalam beberapa tahun mendatang untuk mengukuhkan lagi hubungan di antara kedua-dua negara,' kata Obama dalam kenyataannya kelmarin.

Beliau berkata bilangan penduduk yang keluar mengundi, kempen bertenaga yang dijalankan oleh semua parti dan minat tinggi yang ditunjukkan media dan badan sivik setempat merupakan bukti bahawa proses demokrasi negara itu kini bertambah kukuh.

Sementara itu, badan pengawasan pilihan raya Indonesia bercadang mahu menyaman Presiden Yudhoyono untuk mendapatkan penjelasan pemimpin Parti Demokrat itu atas dakwaan beliau melanggar peraturan pilihan raya berdasarkan aduan pesaing, Megawati Sukarnoputri.

'Susilo mungkin disaman. Saya tidak dapat memberikan maklumat lanjut tetapi saya telah melihat draf surat (untuk menyaman beliau),' kata ahli Lembaga Penyeliaan Pilihan Raya, Wahidah Suaib, kepada agensi berita Antara.

Tindakan undang-undang itu sebagai mendapatkan penjelasan perbualan telefon dengan beberapa gabenor di negara itu yang dijalankan sehari sebelum Pilihan Raya Presiden, satu tindakan yang disifatkan pasukan kempen Megawati- Prabowo Subianto sebagai melanggar peraturan pilihan raya.

Ketika perbualan telefon terbabit, Dr Yudhoyono memeriksa dengan semua gabenor mengenai kesediaan mereka membantu beliau memudahkan perjalanan undian.

0 ulasan: