Oleh : Pembela
Pertamanya saya ingin merakamkan rasa terharu di atas sikap berterus terang YB berhubung dengan kelemahan, kekangan dan kegagalan dalam menjalankan fungsi di dalam bidang kuasa yang diamanahkan. (rujuk laporan Harakahdaily – 12 Julai).
Sesungguhnya, sikap berterus terang tersebut amat dialu-alukan dan sewajarnya diberi pujian. Sekaligus ia adalah cerminan watak kepimpinan kerajaan Pakatan Rakyat yang telus, bertanggungjawab dan jujur berbanding Umno/Bn yang sentisa menutup segala kelemahan, kepincangan dan kesilapan yang mereka lakukan dari pengetahuan rakyat.
Namun, jauh di sudut hati saya, mungkin juga mewakili sebahagian besar generasi muda dalam negeri Kedah, sekadar mengaku kelemahan ataupun sebab sesuatu permasalahan bukanlah penyelesaian kepada isu pokok seperti yang diharapkan oleh rakyat. Begitu juga, memberi alasan demi alasan di atas kekangan dalam melaksanakan sebarang aktiviti yang berpunca dari pihak lain terutamanya kerajaan pusat ataupun Umno/Bn bukan juga jawapan yang diharap-harapkankan oleh rakyat.
Apa yang rakyat mahu ialah, bagaimana YB selaku Exco yang dipertanggungjawabkan dalam bidang kuasa berkaitan (belia, sukan dan kebudayaan serta kesenian) dapat merancang aktiviti-aktiviti seperti yang war-warkan dalam manifesto PRU 12 lalu.
(Petikan kenyataan Exco dalam Harakhdaily)
“Sedangkan ketika Umno/BN memerintah, kerjasama dibuat dengan pihak pusat menyediakan dana, event management dan di negeri hanya menerima sahaja'pakej program' yang diserah oleh pusat.
Demikian dedah, Exco Belia dan Sukan, Kesenian,Warisan dan Kebudayaan Kedah, Dr Hamdan Mohamed Khalib dalam satu wawancara bersama Harakah di Pejabat Pusat Khidmatnya di Tanjong Dawai dekat sini baru-baru ini.
Ujar Dr Hamdan, semasa Umno/BN memerintah dahulu, pegawai-pegawai dan NGO belia memberi kerjasama untuk melaksanakan program dengan bantuan dana dari kerajaan pusat.
Persoalan yang bermain dibenak fikiran saya ialah, adakah YB tidak dapat melihat bahawa Kelantan yang ditadbir oleh PAS sejak 1990 juga tidak pernah mendapat kerjasama yang sepenuhnya dari kerajaan Pusat. Malahan mereka juga ditindas, dianaktirikan, malahan khazanah mereka turut dirompak.
Adakah YB fikir bahawa, kerajaan Kelantan dan Kedah pada hari ini dilihat dalam konteks yang berbeza oleh kerajaan pusat ? Jawapannya ialah Kelantan, Kedah, Pulau Pinang maupun Selangor adalah kerajaan negeri yang di lihat serupa oleh kerajaan Umno/Bn. Ini adalah kerajaan yang ditubuhkan oleh musuh politik mereka.
Perlu diingatkan bahawa, kerajaan Kelantan juga menghadapi kekangan-kekangan seperti yang dinyatakan oleh YB, namun mereka (Kelantan) tetap berusaha menjalankan aktiviti-aktiviti mengikut bidangkuasa yang ada. Mereka tidak jemu ataupun mengeluh tentang kekangan yang dicipta oleh kerajaan pusat. Sebalik apa yang dapat kita lihat ialah mereka bertindak secara proaktif merancang dan menjalankan aktiviti-aktiviti yang melibatkan rakyat. Pengalaman yang ada di negeri Kelantan wajar kita contohi. Ketidak sudian kita mencontohi Kelantan kerana alasan struktur sosio-budaya mereka tidak sama dengan Kedah bukan boleh di terima bulat-bulat.
Paling pentingnua ialah aktiviti dan program yang dijalankan mengikut acuan yang selari dengan dasar dan polisi yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri tersebut.
Tidak ada gunanya jika program, bantuan modal maupun tenaga yang diberikan oleh kerajaan pusat ataupun pihak luar, jika ia dijalankan tidak mengikut acuan yang selari dengan polisi dan dasar kerajaan negeri.
Bagi saya, sikap mengharap bantuan samada dari segi program, kewangan ataupun tenaga dari kerajaan pusat seperti yang dinyatakan oleh YB adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku serta bukan alasan konkrit bahawa aktiviti yang dirancang pada masa sekarang ataupun masa akan datang tidak dapat dilaksanakan. Ini kerana masih banyak kaedah dan pendekatan lain yang boleh dilaksanakan asalkan ia diberi peluang atau diajak bersama rakyat di negeri ini berbincang , merancang dan melaksanakan program tersebut.
Persoalannya ialah ia dilihat seperti tidak berlaku, jika pun berlaku ia terlalu marginal.
Sebagai rakyat yang sememangnya sentiasa bersama Pakatan Rakyat dari dulu, sekarang dan Insyaallah akan datang… saya dan generasi muda sedang menunggu satu pelan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang yang bersifat komprehensif menjurus kepada falsafah dan konsep pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat iaitu “Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua”. Saya dan ramai lagi rakyat (muda-mudi) yang sejak adari awal kerajaan Pakatan Rakyat ditubuhkan di Kedah tertunggu-tunggu, apakah bentuk program yang akan dijalankan. Lebih penting lagi ialah rakyat dapat menyertai ataupun menyokong program yang akan dilaksanakan.
Oleh itu, saya mengharapkan supaya YB lebih bersikap prokatif dan profesional dalam merancang aktiviti dan program yang melibatkan golongan muda-mudi dalam negeri Kedah ini. Cukuplah….segala kepincangan dan kecelaruan sosial yang berlaku dikalangan muda-mudi pada hari ini, akibat dasar Umno/Bn masa lampau.
Ayuh YB… hargailah sokongan dan kepercayaan rakyat yang telah dibuktikan pada PRU 12 lalu. Kekalkan momentum rakyat yang telah memberi kemenangan serta kepercayaan kepada kita masa lalu dan ianya dapat berterusan pada PRU 13 akan datang.
‘ Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman, beramal soleh, serta nasihat menasihati kepada kebenaran dan nasihat menasihati kepada kesabaran’ ( Al-Asr).
Salehuddin Disambut Meriah Masyarakat Cina Johor
1 minit yang lalu

0 ulasan:
Catat Ulasan