Selasa, 21 Julai 2009

‘Pantau harga gula menjelang raya’

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Pengguna dan peniaga di sekitar ibu kota meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memantau bekalan gula menjelang musim perayaan yang bakal tiba kurang dua bulan lagi kerana mendakwa sering berlaku kekurangan pada waktu itu.

Meskipun kebanyakan pengguna mengatakan boleh mendapatkan bekalan gula dengan mudah pada ketika ini, namun mereka turut melahirkan kerisauan kerana khuatir kekurangan bekalan gula yang kini didakwa berlaku di Wilayah Utara menular hingga ke ibu kota.

Anuar Nordin, 30, berkata kerajaan perlu mencari mekanisme sesuai bagi menangani masalah kekurangan gula yang sering terjadi setiap kali tiba perayaan.

“Sebagai pengguna, saya berasakan kami tidak mempunyai pilihan, kerana gula adalah antara keperluan asas harian, jadi mahu tidak mahu terpaksalah kita membayar harga yang dikenakan peniaga.” katanya ketika ditemui Berita Harian, di pasar Chow Kit, semalam.

Sementara itu, Syaiwaitul Azrian, yang menetap di Jalan Klang Lama berkata, setakat ini beliau masih tidak berhadapan sebarang masalah mendapatkan bekalan gula untuk kegunaan harian.

Bagaimanapun katanya, situasi kekurangan bekalan gula di Pulau Pinang, pastinya sedikit sebanyak akan mendorong pengguna di ibu kota untuk mendapatkan bekalan dalam jumlah yang banyak hingga menimbulkan kesukaran kepada pihak lain, termasuk golongan peniaga yang terpaksa bersaing dengan pengguna domestik.

“Walaupun konsumsi gula tidaklah sebanyak barangan keperluan harian lain, tapi jika bekalannya menyusut di pasaran, pasti pengguna akan turut berasa bimbang.

“Di pihak peniaga pula, biasanya mereka akan bertindak menyimpan bekalan yang ada dan hanya menjualnya sebaik harga pasaran meningkat. Sudah pastilah ini akan menimbulkan kesulitan kepada pengguna.” katanya.

Semalam, akhbar ini melaporkan berlaku kekurangan bekalan gula di Pulau Pinang yang dipercayai berpunca dari khabar angin mengenai kenaikan harga barangan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Abdul Malik Abul Kasim, berkata, walaupun menerima aduan pengguna mengenainya, masalah itu masih berada dalam keadaan terkawal.

Sementara itu, seorang pekerja sebuah kedai makan, Irfan Roy berkata, setakat semalam, beliau tidak menghadapi sebarang masalah mendapatkan hampir 10 kilogram (kg) bekalan gula yang diperlukan bagi menjalankan perniagaan makanan.

“Bekalan gula itu saya peroleh dari seorang peniaga sekitar Chow Kit dan harganya juga masih sama seperti sebelum ini, iaitu RM1.35 bagi satu kg.” katanya.

Seorang peniaga, Bhua Bik Chuan, 50, berkata kebiasaannya bekalan gula akan mengalami kekurangan menjelang sesuatu perayaan.

Bagaimanapun, Bhua yang sudah berniaga selama empat tahun berkata, buat masa ini beliau masih tidak mengalami sebarang masalah mendapatkan bekalan gula.

0 ulasan: