Rabu, 8 Julai 2009

Pelajar Malaysia terjamin

Oleh JOHARDY IBRAHIM


Menteri Luar Australia Stephen Smith beramah-mesra dengan pelajar-pelajar semasa melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki Kuala Lumpur, semalam.

PUTRAJAYA 7 Julai - Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd memberi jaminan keselamatan pelajar Malaysia di negara itu walaupun tercetus laporan-laporan mengenai jenayah perkauman sejak kebelakangan ini.

''Terdapat kira-kira 20,000 pelajar Malaysia di Australia dan ingin saya nyatakan bahawa kerajaan Australia mengambil perhatian yang sangat serius untuk memastikan keselamatan mereka dan semua pelajar antarabangsa terjamin," katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian pada sesi wawancara kepada dua wakil media tempatan selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Penny Williams.

Menurut Rudd, sebenarnya semua bandar raya di Australia adalah selamat dan ramai pelajar Malaysia sendiri mengakui fakta tersebut.

Namun tambah beliau, kadang-kadang sesetengah kes jenayah itu dilaporkan di luar konteks dan ia kelihatan begitu menakutkan.

Rudd berkata, beliau bukan mahu menidakkan isu jenayah perkauman di Australia tetapi di semua bandar raya di dunia ini akan wujud kejadian jenayah dari semasa ke semasa.

''Ia menjadikan keadaan seakan 'satu tindakan kekerasan adalah satu kejadian yang terlalu banyak, satu kematian adalah terlalu banyak' tetapi saya ulangi, soal keselamatan pelajar adalah keutamaan kami," ujarnya.

Beliau merujuk kepada ketegangan kaum di Australia berikutan kejadian pelajar India diserang sehingga mencetuskan tunjuk perasaan masyarakat India di Australia dan juga di India serta diberi julukan 'pembelasahan kari' (curry bashing).

Ditanya sama ada Australia adalah sebuah negara Eropah yang kebetulan terletak di Asia, Rudd mengakui fakta itu sambil memberitahu ia adalah sebuah negara imigran yang pada awal sejarahnya dipenuhi pendatang Eropah dan kini sebilangan besar adalah dari China, Vietnam, Malaysia, Indonesia dan Sri Lanka.

''Kami adalah sebuah negara pelbagai budaya dan kami berbangga dengan hakikat tersebut. Kami bukan masyarakat yang sempurna dan cabaran yang dihadapi adalah jelas tetapi kami cukup selesa dengan masa depan kami di rantau ini,'' katanya.

Secara berseloroh beliau berkata, pengaruh imigran di Australia telah mengajar mereka bagaimana untuk 'menikmati makanan yang lebih enak'.

''Disebabkan pengaruh imigran, kami kini ada pilihan makanan seperti sate dari Malaysia, nasi goreng Indonesia dan masakan kari terbaik dari Asia Selatan, selain makanan Jepun dan Korea.

''Jika tidak ada semua ini, kami akan hanya melalui satu lagi dekad dengan memakan makanan Inggeris sahaja," katanya.

Rudd mengadakan lawatan singkat untuk membincangkan hubungan dua hala dengan Malaysia pada Isnin lalu, dalam perjalanannya untuk menghadiri satu persidangan di Eropah.

Dalam konteks ini, beliau berkata, hubungan dua hala Australia-Malaysia adalah sangat bagus dan beliau telah bertemu dengan Najib dalam pelbagai kapasiti termasuk semasa menjadi Menteri Pertahanan dan Timbalan Perdana Menteri sebelum ini.

''Hakikat bahawa saya datang ke sini dua kali dalam tempoh 12 bulan menunjukkan kesungguhan kerajaan saya untuk menjalin hubungan rapat dengan Malaysia. Tentunya kita menganggap hubungan dengan Malaysia sebagai sesuatu yang serius," ujarnya.

0 ulasan: