Isnin, 13 Julai 2009

Pemansuhan PPSMI dicurigai, kenapa 2012?

Roy Rasul


KUALA LUMPUR - Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) menyifatkan pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), yang berkuat kuasa 2012, terlalu lambat.

Pengerusi Lajnah Pendidikannya, Wardatul Jannah As-Sofea berkata, sepatutnya PPSMI sudah lama dimansuhkan kerana pelaksanaannya lebih kurang enam tahun lalu dilakukan secara tergesa-gesa

Ujarnya yang dihubungi baru-baru ini, soal pendidikan anak-anak bangsa tidak perlu diperjudikan atas faktor sentimen atau menerima tekan dari pelbagai pihak.

"Mengapa perlu tunggu sehingga 2012 kerana sejak dilaksanakan pada tahun 2003 dulu kira-kira enam meja bulat dibuat bagi memansuhkannya jadi tidak perlu dilewatkan lagi," tegasnya,

Malah katanya, beliau curiga pemansuhan PPSMI itu sebagai gula-gula pilihan raya untuk memenangi pilihan raya manek Urai.

"Kesangsian kami tetap ada dan kerana bagi kami sepatutnya ia dibuat lebih awal daripada tarikh tersebut," katanya.

Rabu lalu, Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kabinet memutuskan mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil mulai 2012.

Pelaksanaan PPSMI yang dilaksanakan kira-kira enam tahun lalu mendapat bantahan daripada pelbagai pihak dan kemuncaknya perarakan 100 ribu rakyat mansuhkan PPSMI ke Istana Negara pada 7 Mac lalu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) Dato' Baha Zain berkata, walaupun pemansuhan PPSMI oleh Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat sebagai keberanian tetapi dalam hal bahasa kebangsaan ia bukan sekadar untuk dikembalikan pelajaran Matematik dan Sains kepada bahasa kebangsaan sahaja.

Katanya, yang perlu disertakan kerajaan satu perancangan yang mempunyai strategi baru untuk perhebatkan Bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu pengetahuan.

"Kalau tidak ia tidak ada makna apa-apa. Apa yang dimantapkan di sekolah itu harus juga diperhebat penggunaannya dalam masyarakat dan juga sektor-sektor kerajaan dan swasta.

"Kalau tidak Bahasa Melayu akan menjadi 'pulau' di sekolah sedangkan di luar persekitarannya orang masih mengagungkan dan mengutamakan Bahasa Inggeris," katanya.

Malah ujarnya, jika kerajaan hanya tumpukan di sekolah ia akan hilang keyakinan ibu bapa dan masyarakat di mana Bahasa Inggeris hanya dipentingkan di sekolah.

Sebaliknya beliau berkata, dalam kehidupan praktikal harian dalam sektor swasta dan awam ia tidak dikembangkan.

Tegasnya, untuk betul-betul memberi erti dan mengembalikan martabat Bahasa Melayu ia harus diperkukuh di dalam sekolah dandi luar sekolah.

Kerana itu katanya, kerajaan perlu mempunyai satu keazaman politik untuk memebina dan merancang secara struktural peningkatan keupayaan Bahasa Melayu sama dengan bahasa ilmu pengetahuan moden.

"Jangan terlalu banyak merisaukan rungutan-rungutan penentangan Bahasa Inggeris.

"Lagi pun masyarakat kita terlalu taksub terhadap Bahasa Inggeris saja seolah-olah menjadi lampu ajaib aladin yang boleh menyelesaikan segala masalah hidup dan mati.

"Ini satu pandangan yang sempit yang ditanam oleh penjajah budaya barat," katanya.

Beliau berkata, kerajaan jangan hanya sekadar menyelesaikan status bahasa Melayu di sekolah-sekolah tetapi harus melihat dalam konteks yang lebih besar iaitu keseluruhan pembinaan sahsiah dan tamadun bahasa tidak harus dibayangi Bahasa Inggeris.

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Guru-guru Malaysia Barat, Mohamed Sabri Arshad berkata pemansuhan PPSMI adalah tuntutan rakyat Malaysia. Katanya, semua orang hendakkan pelajaran Sains dan Matematik dikembalikan dalam Bahasa Malaysia.

"Maknanya selepas ini kita boleh mendaulatkan kembali bahasa kita sebagai bahasa rasmi," katanya sambil menyambut baik pemansuhan tersebut. - mks. _

0 ulasan: