Khamis, 16 Julai 2009

Perjuangan bahasa belum selesai

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar


BAHASA Melayu adalah bahasa kebangsaan di negara yang tergolong dalam satu rumpun Melayu iaitu Malaysia dan Indonesia. Bukan sedikit jumlah penutur asli bahasa Melayu ini yang turut digunakan di negara-negara Asia Tenggara. Jika di Indonesia usaha memartabatkan bahasa Melayu telah mencapai kejayaan membanggakan tetapi keadaan itu semacam ada banyak kekangan di Malaysia.

Malah, memberi nama pada bahasa kebangsaan ini pun turut menjadi polemik yang sentiasa ‘bertarik tali’. Sepatutnya isu bahasa Melayu ini sudah berada di mercu keperkasaan dan terjulang tinggi martabatnya. Di manakah silapnya hingga keadaan sedemikian berlaku? Di manakah kurangnya bahasa Melayu ini? Bertaraf rendahkah bahasa Melayu kita ini? Pelbagai persoalan timbul dalam kepala kita apabila memikirkan senario yang melanda bahasa Melayu di negara kita.

Bahasa Melayu adalah bahasa rakyat Malaysia dan menjadi bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara. Dalam melalui arus globalisasi dewasa ini seharusnya kedudukan Bahasa Melayu diangkat tinggi dalam usaha kerajaan dan rakyat membentuk suatu jati diri kenegaraan yang mantap dan gagah di persada dunia dalam serba lapangan.

Dalam memartabatkan bahasa Melayu, kita patut banyak belajar daripada rakyat Jepun, Korea dan China. Kecintaan mereka sangat ‘bulat’ terhadap bahasa ibunda mereka. Walaupun demikian, negara mereka terus maju dan berjaya dalam pelbagai bidang kemajuan terutama sains dan teknologi.

Kita sudah lama mengamalkan Dasar Pandang Ke Timur dengan menghantar ramai pelajar ke Jepun dan Korea untuk menuntut di sana. Sebelum pelajar kita ke sana mereka menghabiskan tempoh tertentu untuk belajar bahasa berkenaan kerana bahasa ilmu di negara itu dalam bahasa ibunda dan bukan bahasa Inggeris.

Jadi, di sini jelas satu gambaran kukuh bagaimana majunya negara itu tanpa menghakis penggunaan bahasa ibunda. Dalam memandang ke timur kita hanya melihatnya daripada perspektif etika kerja dan komitmen pekerja mereka. Sebenarnya, terdapat banyak lagi unsur baik yang patut kita belajar dari negara itu. Ini termasuk dalam soal mempertahankan penggunaan bahasa ibunda.

Oleh itu, kita di Malaysia sewajarnya dapat sama meneladani Jepun dan Korea dengan memartabatkan setinggi mungkin kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa yang dihormati digunapakai dalam proses pemerolehan ilmu pengetahuan dan sebagai wadah utama kebersatuan rakyat.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pernah mengatakan, “Sesuatu bahasa yang diabaikan golongan inteleknya akan layu dan beku sehingga tidak terdaya untuk bertahan.” (Petikan ucapan ketika merasmikan Majlis Perasmian Hadiah Bahasa pada 30 April 1986).

Memang tepat kata-kata Dr Mahathir bahawa bahasa akan tertinggal dan terabai jika rakyatnya sendiri mengabaikan dan menganggap remeh mengenainya.

Bahasa menunjukkan bangsa, tetapi jika rakyat dan pemimpin sesebuah negara itu kurang yakin dengan kemampuan bahasanya sendiri tentulah akan menjadi satu petanda buruk kepada kehancuran dan kemandulan bahasa sendiri. Bahasa Melayu yang diakui sah dalam perlembagaan negara sebagai bahasa kebangsaan adalah milik semua rakyat Malaysia dan sewajarnya bahasa ini diangkat tinggi sebagai wadah memajukan negara dalam pelbagai bidang khususnya ekonomi, sains dan teknologi.

Jadi, pertumbuhan dan perkembangannya tidak harus dibantutkan walau atas alasan apa pun. Keperdanaan bahasa Melayu tidak akan tampil menjulang tinggi seandainya semua pihak lebih-lebih lagi kerajaan sendiri sangsi terhadap keupayaan bahasa kebangsaan.

Menurut Profesor Datuk Dr Zainal Kling, seorang ahli sosiologi tersohor, sejarah ketamadunan bangsa-bangsa di alam Melayu menunjukkan bahawa perkembangan bahasa Melayu sejak ribuan tahun dulu memainkan peranan sebagai bahasa perantaraan antara penduduk di wilayah dan rantau ini.

“Jika seseorang mengakui dirinya orang Malaysia atau menjadi orang Malaysia kerana perundangan dan perlembagaan, maka satu daripada obligasi sebagai bangsa Malaysia adalah dengan mempelajari bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu.”

“Bahasa Melayu jika mengalami proses kemunduran akan hanya digunakan golongan bawahan dan tidak lagi mempunyai wibawa sebagai bahasa rasmi negara. Jadi, sebagai bangsa Melayu, sanggupkah kita melihat bahasa ini semakin terhakis dan terpinggir dalam arus perdana negara?”

Mantan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman ketika berucap di Majlis Tinta Kencana di Kuala Lumpur pada 2004, dipetik sebagai berkata: “Bahasa Melayu sudah menjadi bahasa moden bahasa pentadbiran dan bahasa ilmu yang cekap, setanding bahasa lain, termasuk bahasa Inggeris.

“Kecekapan dan kemampuan bahasa kita sudah terbukti dengan lahirnya pakar pelbagai bidang yang terdidik dalam bahasa kebangsaan dan wujudnya golongan bijak pandai yang mampu mengendalikan pelbagai urusan termasuk mentadbir negara.

“Justeru, sekarang tidak timbul langsung dan kita tidak perlu mendebatkan keupayaan bahasa Melayu dalam apa jua bidang kerana sejarah telah membuktikan. Cuma minda manusia masa kini begitu ‘berjerebu dan berdebu’ kerana sukar melihat kebijakan bahasa sendiri!”

Negara sudah 51 tahun merdeka. Persoalan bahasa kebangsaan ini sepatutnya sudah terjulang tinggi dan mencapai status mulia. Namun, sebaliknya pula berlaku. Bahasa Melayu seolah-olah menjadi bahan sampingan dalam agenda negara. Yang ditumpukan lebih kepada penjanaan ekonomi dan pembangunan fizikal. Nampaknya kita perlu belajar semula sejarah kewujudan bangsa kita.

Ini kerana pendidikan sejarah negara dan bangsa itu akan memungkinkan semua pihak sedar diri dan seterusnya menghargai bahasa sendiri. Oleh itu, semangat memperjuangkan kedaulatan bahasa Melayu belum selesai dan mesti secara berterusan diaktifkan kerana jika kita lalai dan bersikap ‘mudah lupa’ akan menggerhanakan sinar cemerlang bahasa itu.

Kata-kata Hang Tuah, ‘Takkan Melayu hilang di dunia’ itu seharusnya diiringi dengan, ‘Takkan hilang bahasa Melayu di dunia’.

Kita setuju pendapat Profesor Dr Awang Sariyan yang menyatakan, “Apabila ada tindakan berpatah kembali untuk menjadikan bahasa lain sebagai wahana bidang-bidang utama kenegaraan itu, khususnya melalui bidang pendidikan, maka martabat bahasa Melayu sudah mula tergugat.”

“Pengurangan fungsi dan peminggiran bahasa Melayu dalam bidang-bidang yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka secara langsung akan menjejaskan martabat bahasa Melayu sebagai satu tonggak pembinaan negara.”

Masih ada masa untuk semua pihak memperbetulkan keadaan agar bahasa Melayu kembali ‘gagah perkasa’ seperti kedudukannya ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka (1400-1511).

0 ulasan: