Khamis, 23 Julai 2009

Peruntukan PPAS tidak cukup

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM – Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) berhadapan dengan masalah kekurangan buku disebabkan peruntukan yang diperoleh tidak mencukupi.

Pengarah PPAS, Mastura Muhammad berkata, PPAS menerima peruntukan RM11 juta iaitu RM6 juta dari Kerajaan Negeri dan selebihnya dari Kerajaan Persekutuan.

Menurut beliau, peruntukan dari Kerajaan Persekutuan digunakan untuk pembelian buku-buku dan juga latihan kepada kakitangan manakala daripada Kerajaan Negeri untuk pembaya ran gaji kakitangan, utiliti dan penyelenggaraan.

“PPAS sebelum Kerajaan PR (Pakatan Rakyat) hanya memperoleh peruntukan sekadar cukup sahaja. Jadi sebab itulah pada sidang DUN (Dewan Negeri) baru-baru ini, banyak yang merungut bahawa buku tidak mencukupi sebab peruntu kan yang diberikan terlalu sedikit untuk membeli buku.

“Sebagai contoh, sebuah buku berharga RM50, di Selangor ada 93 perpustakaan, termasuk tiga perpustakaan bergerak. Kalau beli buku, saya akan beli 94 buah sebab dua buah akan diletakkan di sini. Jumlahnya adalah RM4,700, kalaulah dalam masa setahun saya beli 5,000 untuk setiap satu tajuk, bermakna kita memerlukan 23.5 juta setahun peruntukan untuk membeli buku setahun,” katanya.

Katanya, sejak beliau mula bertugas di PPAS 10 bulan yang lalu, ramai pembaca yang merungut banyak bahan bacaan yang hendak dipinjam tidak mencukupi dan tidak ada.

Malah beliau mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin memberikan sumbangan buku-buku, rak dan sebagainya.

“Sebuah buku boleh dipinjam selama tiga minggu dan boleh dilanjutkan sehingga tiga minggu lagi. Bila pembaca seterusnya boleh meminjam buku tersebut?

“Sebab itu ramai pembaca yang merungut banyak buku yang hendak dipinjam tidak ada. Saya pun baru masuk 10 bulan masuk ke sini, patutlah buku tidak cukup,” katanya.

Mastura juga berkata, kerajaan baru Pakatan Rakyat (PR) amat prihatin kepada buku, ini juga merupakan maklum balas daripada kakitangan beliau.

Katanya, Pengerusi PPAS, Dr Halimah Ali selaku Exco berkenaan sentiasa memberikan keutamaan kepada PPAS, baik dari segi bajet dan aktiviti malah beliau telah beberapa kali datang membuat lawatan ke PPAS.

Bukan sahaja Ecxo, Dr Halimah, tetapi Exco lain termasuk Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga turut menjadi ahli PPAS, “katanya.

0 ulasan: