UTUSAN ONLINE
KUALA TERENGGANU - Pesta Terengganu yang dihentikan 15 tahun lalu akan diadakan semula pada 31 Julai ini hingga 15 Ogos di Terengganu Equestrian Resort (TER), Kuala Ibai dekat sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Za'abar Datuk Mohd. Adib berkata, ia bertujuan menjadikan pesta itu sebagai platform bagi acara pelancongan yang unik di negeri Terengganu setiap tahun.
Beliau berkata, selain itu, ia juga untuk menghidupkan kembali tradisi 'Pesta Main Pantai' yang amat sinonim dengan masyarakat Terengganu.
''Pesta ini bukan sahaja tertumpu kepada hiburan berbentuk karnival malah turut menonjolkan kepelbagaian aktiviti termasuk persembahan kesenian,'' katanya pada sidang akhbar Pesta Terengganu 2009 di sini hari ini.
Mengenai asal usul Pesta Main Pantai, beliau berkata, pada masa lampau, ia merupakan perhimpunan keluarga petani-petani pada setiap tahun di tepi pantai untuk melepaskan penat lelah selepas menuai padi.
Beliau berkata, pada tahun ini, Pesta Main Pantai tidak lagi diadakan di pantai Batu Burok.
Mengulas lanjut, Zaabar berkata, Pesta Terengganu 2009 adalah program anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Perkasa Alam Terengganu.
Katanya, ia menyediakan pelbagai aktiviti seperti pameran dan ekspo jualan, klinik kuda, menunggang kuda dan menaiki kereta kuda, sukan air di tasik seperti kayak dan lain-lain.
Sebanyak 150 gerai jualan disediakan sepanjang pesta tersebut menerusi penglibatan pelbagai agensi kerajaan dan swasta.
Katanya, promosi dan hebahan Pesta Terengganu dibuat ke seluruh negara melalui 13 pejabat Tourism Malaysia di seluruh negara dan di 44 pejabat Tourism Malaysia di luar negara.
''Kita jangka tidak kurang daripada 10,000 orang pengunjung dalam dan luar negara akan mengunjungi Pesta Terengganu tahun ini,'' katanya.
Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM300,000 untuk menjayakan Pesta Terengganu itu.
Salehuddin Disambut Meriah Masyarakat Cina Johor
2 min yang lalu

0 ulasan:
Catat Ulasan