Isnin, 20 Julai 2009

PM gula-gulakan rakyat dengan insentif 11 perkara

Salmah Mat Husain


KOTA BHARU - Insentif 11 perkara Dato' Seri Najib Razak sempena genap 100 hari menjadi Perdana Menteri disifatkan tidak lebih sebagai 'gula-gula' untuk rakyat.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato' Husam Musa berkata, biar pun insentif tersebut digembar gemburkan menjelang pilihan raya kecil Manek Urai namun ia ternyata gagal memenangi hati rakyat.

Katanya ia sesuatu perkara yang cukup memalukan lebih-lebih lagi enam pilihan raya kecil diadakan di semenanjung pasca 2008 tidak berpihak kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Pengundi di Manek Urai berjaya membuktikan kekentalan mereka walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran rasuah politik secara berleluasa.

"Memang pada peringkat awal dijangka PAS kalah antara 200 hingga 300 undi, namun kerana semangat juang rakyat tinggi mereka tetap menolak Umno dan BN," katanya di sini.

Baru-baru ini genap 100 hari sebagai Perdana Menteri Najib mengumumkan 11 hadiah untuk rakyat termasuk penyewa program perumahan rakyat di Wilayah Persekutuan dibenar membeli rumah yang disewa.

Selain itu potongan 50 peratus peniaga kecil di wilayah ketika membaharui lesen perniagaan dan mengurangkan kadar jenayah ragut.

Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri mendakwa penggunaan rasuah wang secara berleluasa dilakukan Umno bagi memenangi pilihan raya kecil Manek Urai.

Kata beliau perkara itu berlaku di mana-mana tempat di Dun Manek Urai termasuk juga pembahagian cek kepada koperasi pekebun yang baru ditubuhkan sempena kempen pilihan raya.

Selain itu menurutnya sumbangan tabung Tekun kepada peniaga kecil sehingga diberi antara RM300 hingga RM5,000 semasa kempen.

"Oleh itu saya merakam ucapan tahniah kepada pengundi dan petugas di mana semangat serta kekentalan mereka begitu utuh sekali biar pun banyak wang dicurahkan di Manek Urai," katanya. - mj _

0 ulasan: