Ahad, 19 Julai 2009

Polis tidak tolak ada unsur jenayah

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA LANGAT - Keputusan awal laporan bedah siasat yang dijalankan terhadap mayat Teoh Beng Hock mendapati dia mati disebabkan pelbagai kecederaan akibat terjatuh dari paras tinggi, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.

Khalid bagaimanapun berkata, polis belum menolak kemungkinan terdapat unsur jenayah dalam kematian Beng Hock, 30, yang juga Setiausaha Politik Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah.

Beliau berkata, dua ahli patologi, masing-masing seorang dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya mengendalikan bedah siasat mayat Beng Hock, dan menjelaskan bahawa Kerajaan Selangor diberi pilihan untuk mendapatkan ahli patologinya sendiri tetapi tiada yang datang.

“Laporan awal bedah siasat dari ahli patologi menunjukkan Beng Hock setakat ini tidak mengalami kecederaan luaran. Bagaimanapun, kami akan tunggu laporan penuh daripada ahli patologi terbabit beberapa hari lagi. Buat masa ini, kematian Beng Hock disebabkan ‘pelbagai kecederaan akibat jatuh dari paras yang tinggi’,” katanya.

Khalid berkata demikian kepada media selepas melancarkan program Polis Komuniti dan Rakan Cop anjuran bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat dan Persatuan Jaksa Pendamai di sini, semalam.

Beng Hock, 30, ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam pada kira-kira pukul 1.30 petang Khamis lepas setelah memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mendiang adalah seorang saksi dalam siasatan SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan kerajaan negeri melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Exco Selangor.

Khalid berkata, berdasarkan laporan awal bedah siasata itu, polis masih mengklasifikasikan kematian Beng Hock sebagai kematian mengejut.

“Ini hanya penemuan awal kami dan polis menyiasat kes ini secara menyeluruh daripada semua sudut. Polis juga telah mengambil kenyataan dari 23 saksi termasuk 17 pegawai SPRM, tetapi tiada tangkapan dibuat," katanya.

Khalid berkata, polis turut menyiasat cara SPRM mengendalikan soal siasat dan turut mengambil rakaman kamera CCTV dari kawasan lif dan tempat letak kereta Plaza Masalam.

Beliau berkata, satu pasukan khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Hasnan Hassan akan mengendalikan siasatan kes kematian Beng Hock.

“Polis akan mengambil keterangan daripada rakan sekerja Beng Hock, keluarga dan kawan-kawannya,” katanya.

0 ulasan: