Khamis, 23 Julai 2009

Sindiket gores ubah taktik jerat mangsa

MYMETRO


KUALA LUMPUR: Selepas gagal dengan taktik pujuk rayu dan tawaran hadiah lumayan, sekumpulan anggota sindiket kad gores dan menang kini menggunakan modus operandi menyerahkan kad pengenalan (KP) milik mereka sendiri kepada mangsa dalam melancarkan misi tipu helah yang digunakan.

Taktik digunakan ini bukan saja bagi memancing keyakinan mangsa terhadap tawaran serta ganjaran hadiah lumayan dimenangi, malah sebagai cara memerangkap mangsa untuk melabur sejumlah wang sebagai bayaran pengeluaran terhadap hadiah dimenangi.

Dalam kejadian terbaru, seorang pelajar institusi pengajian tinggi, Cheok Yin Kiet, 22, menjadi mangsa apabila ditipu anggota sindiket gores dan menang yang ditemui di sebuah kompleks beli-belah terkemuka di ibu kota.

Menurutnya, ketika kejadian jam 4 petang, dia didatangi sekumpulan empat lelaki dan dua wanita yang memberitahu dia boleh memenangi hadiah lumayan mencecah ribuan ringgit dengan menggores satu daripada kad gores yang terpilih.

“Pada mulanya saya memang tidak mahu mempercayai tawaran itu namun setelah didesak berulang kali serta dimaklumkan boleh memenangi hadiah lumayan, saya pun menggores satu daripada kad terbabit dan mereka memaklumkan saya memenangi hadiah kereta.

“Pada masa itu, saya masih was-was untuk mempercayainya, namun seorang daripada wanita yang juga ahli kumpulan itu memaklumkan saya tidak perlu risau dengan hadiah dimenangi dan menyerahkan kad pengenalan miliknya kepada saya untuk disimpan sebagai jaminan ia bukan tipu muslihat,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Aduan MCA Cawangan Danau Kota, di sini, semalam.

Cheok berkata, selepas menyerahkan kad pengenalan, suspek bersama ahli kumpulannya yang lain meminta mengikuti mereka ke pejabat yang terletak di Taman Desa di sini, sebelum meminta mangsa menggores beberapa keping kad lain yang turut menawarkan beberapa hadiah lumayan.

“Ketika saya sampai di tempat yang didakwa sebagai pejabat operasi syarikat, mereka meminta saya menggores beberapa kad lagi dan selepas digores, mereka memberitahu saya memenangi sebuah bantal yang mempunyai batu berharga bernilai kira-kira RM4,000.

“Pada waktu itulah mereka meminta saya membayar wang sebanyak RM3,800 sebagai wang pengeluaran hadiah dan walaupun masih ragu-ragu, akhirnya saya mengalah apabila ahli kumpulan itu menyatakan kad pengenalan berkenaan sebagai jaminan mereka tidak menipu selain mengurangkan bayaran terbabit kepada RM2,200 saja,” katanya.

Bagaimanapun, selepas beberapa minit, mangsa berubah fikiran apabila tidak mahu hadiah yang dimenangi itu dan meminta wangnya dikembalikan dan ketika itulah dia ditolak dan dihalau keluar dari pejabat syarikat kaki belit itu oleh ahli sindiket itu yang turut menghamburkan kata-kata kesat.

“Tidak puas hati dengan tindakan mereka, saya menelefon pihak berkuasa dan mungkin apabila melihat saya menggunakan telefon, mereka segera menutup pintu pejabat itu dan melarikan diri,” katanya.

Disebabkan itu, mangsa kerugian RM2,200 dan membuat laporan di Balai Polis Brickfields, Ahad lalu.

Sementara itu, Setiausaha Pusat Khidmat Aduan MCA Danau Kota, Lim Choon Hong, berkata pihaknya akan membuat permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Negara untuk menyekat suspek daripada membuat permohonan baru mendapatkan kad pengenalan dan meminta tampil menyelesaikan masalah di Pusat Khidmat Aduan MCA Danau Kota.

0 ulasan: