Rabu, 8 Julai 2009

Syafiq dihukum cuci tandas, bersih tapak pasar malam

Hukuman 200 jam khidmat masyarakat juga babit kaunseling

Oleh Mohamed Farid Noh


KUALA LUMPUR: Pesalah muda Muhammad Syafiq Abdul Wahab yang sebelum ini dihukum 10 sebatan menggunakan rotan halus, tetapi hukuman berkenaan diketepikan Mahkamah Tinggi kelmarin, diarahkan melakukan hukuman khidmat masyarakat termasuk mencuci tandas serta membersih taman awam dan tapak pasar malam.

Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan, Muhd Razmee Abdul Razak, berkata Muhammad Syafiq, 20, serta ibu bapanya akan dipanggil bagi membincangkan lebih lanjut mengenai pelaksanaan hukuman khidmat masyarakat 200 jam yang bakal dikenakan ke atasnya.

"Hukuman khidmat masyarakat 200 jam yang akan dikenakan itu membabitkan sesi kaunseling selama 20 jam; sesi pembersihan (150 jam) dan sesi kerohanian (30 jam).

"JKM sudah menyusun sesi hukuman yang antaranya membabitkan sesi pembersihan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di tandas serta taman awam serta tapak pasar malam. Muhammad Shafiq akan turut diarahkan untuk membersihkan kawasan rumah kebajikan termasuk Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah, Cheras.

"Bagaimanapun, Muhammad Syafiq akan memulakan hukuman berkenaan dengan sesi kaunseling dulu yang dijangka dilaksanakan bermula minggu depan, " katanya di luar Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Terdahulu, dalam prosiding mahkamah semalam, Hakim Zainal Abidin Kamarudin, berkata beliau akur dengan perintah Mahkamah Tinggi, mengetepikan hukuman 10 sebatan menggunakan rotan halus terhadap Muhammad Syafiq yang mengaku bersalah merompak seorang pelajar berusia 16 tahun menggunakan pisau, tahun lalu.

"Bagaimanapun mahkamah ini tidak akan campur tangan terhadap hukuman dikekalkan Mahkamah Tinggi iaitu khidmat masyarakat 200 jam dan menyerahkan kepada JKM untuk mengendalikan hukuman berkenaan seperti yang disusun jabatan berkenaan, " katanya.

Pada 26 Jun lalu, dalam keputusan yang jarang dibuat, Zainal menyatakan beliau sendiri akan melaksanakan hukuman sebatan.

Hukuman berkenaan yang dibantah beberapa pihak termasuk Majlis Peguam turut mendapat perhatian Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi yang mengarahkan Mahkamah Tinggi supaya menyemak semula kes itu.

Bagaimanapun, kelmarin, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah mengetepikan keputusan berkenaan selepas mendapati hakim tersilap menjatuhkan dua hukuman serentak iaitu sebatan dengan rotan halus dan khidmat masyarakat 200 jam, selain tersilap apabila memutuskan beliau sendiri akan merotan tertuduh.

0 ulasan: