Oleh Wan Faizal Ismayatim
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan tidak boleh membina pelantar sendiri bagi tujuan mencari gali minyak dan gas di perairan negeri ini kerana ia tertakluk kepada Akta Pembangunan Petroleum.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed, berkata mengikut akta berkenaan, semua hak milik bagi mengusahakan sumber minyak dan gas dalam negara mesti diserahkan kepada Petronas.
"Kita ada undang-undang di bawah Akta Pembangunan Petroleum yang antara lain menyatakan hak mengusahakan sumber minyak diberikan kepada Petronas dan ia juga boleh mengadakan perjanjian konsesi dengan mana-mana syarikat lain atau mengusahakannya sendiri," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPNK) berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat MTPNK di sini, semalam.
Mustapa berkata demikian ketika ditanya sama ada Kerajaan Kelantan yang sebelum ini menuntut Kerajaan Pusat membayar royalti petroleum sebanyak RM1 bilion, boleh membina pelantar minyak sendiri di perairan negeri ini.
Mengenai tuntutan royalti itu, beliau berkata, Petronas dan Peguam Negara sedang menyediakan draf sebelum membuat penjelasan terperinci berhubung isu berkenaan kepada rakyat dan Kerajaan Kelantan.
"Kita tunggu penjelasan pihak berkenaan. Pendirian kerajaan tidak berubah,” katanya.
Harga Minyak Dunia Turun Tetapi Harga RON97 Masih Sukar Diturunkan Seperti Yang Dijanjikan?
2 beberapa jam yang lalu

0 ulasan:
Catat Ulasan