Oleh Ridzuan Yop dan Shamsul Kamal Amarudin
IPOH: Kerajaan sudah memberi pertimbangan sewajarnya sebelum membuat keputusan berhubung kenaikan tambang pengangkutan awam di negara ini terutama bas dan teksi supaya tidak membebankan rakyat berbanding tuntutan pengusaha terbabit yang jauh lebih tinggi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, kadar baru itu sebenarnya sudah lama dikemukakan kepada kerajaan dan tanggungjawab itu diberikan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz untuk menguruskannya.
Katanya, kerajaan terpaksa menimbangkan banyak keadaan kerana pemilik bas dan teksi sudah mengemukakan beberapa asas kenaikan tambang berikutan kos yang terpaksa ditanggung beberapa tahun lalu seperti kenaikan harga bahan api, alat ganti, gaji pemandu dan tayar.
"Mereka (pengusaha bas dan teksi) berpendapat kalau kerajaan tidak mengkaji balik dengan memberi kenaikan, mereka akan menanggung kerugian dan akibatnya mungkin operasi yang dijalankan tidak dapat dilakukan dengan cekap.
"Kita mengharapkan dengan keputusan ini (kenaikan tambang), pengusaha dapat mempertingkat tahap kecekapan seperti yang dikehendaki pengguna setimpal dengan kenaikan tambang," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Koperasi Negara 2009 di Stadium Indera Mulia, di sini, semalam.
Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Mangsor Saad.
Kelmarin, kerajaan mengumumkan langkah menaikkan kadar tambang pengangkutan awam antara 1.2 sen hingga RM31.70, yang menimbulkan rasa tidak puas hati pelbagai pihak kerana beranggapan ia membebankan pengguna.
Harga Minyak Dunia Turun Tetapi Harga RON97 Masih Sukar Diturunkan Seperti Yang Dijanjikan?
2 beberapa jam yang lalu

0 ulasan:
Catat Ulasan