Selasa, 21 Julai 2009

Tiada Restoran Berahi

MYMETRO


KUALA LUMPUR: Polis yang menyiasat lokasi ‘Restoran Berahi’ seperti dilaporkan dua wartawan akhbar Harian Metro hanya menemui sebuah tangki air dan reban ayam di atas bumbung restoran dimaksudkan itu.

Bernama melaporkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah, berkata restoran berahi yang didakwa dua wartawan itu sebenarnya tidak wujud.

Katanya, polis sudah mengambil keterangan dua wartawan itu dan mereka memberitahu tidak memasuki restoran terbabit sebaliknya hanya mereka-reka cerita.

“Dalam keterangan, mereka (dua wartawan) mendakwa kegiatan itu berlaku di atas bumbung restoran terbabit tetapi mereka tidak naik ke atas bumbung berkenaan dan hanya melawat sehingga tangga restoran.

“Jadi kita percaya mereka hanya mereka-reka cerita yang sensasi tetapi hakikatnya tempat itu tidak wujud dan mendapatkan gambar melalui Internet,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, semalam.

Ku berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana menyiarkan berita tidak benar dan berniat jahat.

Beliau berkata, satu laporan polis berhubung perkara itu telah dibuat oleh Ketua Balai Polis Brickfields pada hari yang sama laporan berita itu disiarkan.

Kedua-dua wartawan itu yang sering memaparkan isu sensasi menulis artikel mengenai sebuah restoran yang kononnya menyediakan pelayan wanita seksi untuk melayan pelanggan semasa menjamu selera disiarkan di muka hadapan akhbar itu Sabtu lepas.

Wartawan itu juga mendakwa perkhidmatan wanita seksi hanya disediakan untuk pelanggan terpilih restoran itu pada hujung minggu tertentu sahaja.

Menurut laporan itu kedua-dua wartawan berkenaan berjaya menyelinap masuk antara puluhan VIP yang mengunjungi restoran terbabit yang beroperasi dari jam 10 pagi hingga 11 malam.

Sementara itu, Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad, Mustapa Omar, berkata pihak syarikat sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung berita dianggap tidak benar dihasilkan kedua-dua wartawan akhbar ini, sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

“Pihak syarikat memandang serius insiden ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

0 ulasan: