Ahad, 19 Julai 2009

Tubuh suruhanjaya diraja sahaja diyakini

UTUSAN ONLINE


IPOH - Hanya siasatan menyeluruh dan berkecuali sahaja dapat menyakinkan rakyat berhubung insiden kematian setiausaha politik kepada seorang Exco kerajaan negeri Selangor, Teoh Beng Hock.

Ketua Penyelaras Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, beliau melihat usaha tersebut akan dapat diselesaikan menerusi penubuhan suruhanjaya diraja.

''Penubuhan suruhanjaya diraja penting kerana ia berkuasa untuk memanggil sesiapa sahaja ketika proses siasatan diadakan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat dengan Barisan Nasional (BN) Perak di sini hari ini.

Khamis lalu, Beng Hock yang merupakan salah seorang saksi untuk membantu siasatan berhubung kes salah guna peruntukan kerajaan negeri Selangor ditemui mati di koridor luar tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam.

Kejadian tersebut dikatakan berlaku selepas mendiang disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bangunan tersebut.

Menurut Soi Lek, apa yang rakyat mahu tahu sekarang ialah jawapan yang jelas tentang bagaimana Beng Hock menemui ajalnya.

Sementara itu, mengulas senario politik Perak, bekas Menteri Kesihatan itu berkata, kerajaan negeri perlu mengikis tanggapan negatif rakyat terhadap BN.

Menurutnya, setiap parti komponen mempunyai tugas menyakinkan rakyat bahawa semua usaha yang dijalankan kerajaan negeri adalah untuk kebaikan dan masa depan mereka.

''Kita menghadapi persepsi negatif daripada rakyat. Oleh itu BN Perak kena bekerja lebih kuat untuk meraih sokongan dan menyelesaikan beberapa isu yang dibangkitkan.

''Sebagai contoh, selepas kita kalah pada Pilihan Raya Umum ke-12 lalu, ada pusat perkhidmatan yang tidak lagi berfungsi. Ini perlu diberi perhatian," ujar Soi Lek.

Beliau percaya kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mampu meletakkan BN di landasan yang baik kerana beliau mempunyai kesedaran yang tinggi dalam memikul tanggungjawab ke arah melakukan perubahan terhadap rakyat.

Malah kata Soi Lek, ada penduduk di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang memilih pembangkang pada pilihan raya umum lalu terus mencari wakil-wakil komponen BN untuk mendapatkan bantuan dan perkhidmatan.

''Ini berlaku kerana mungkin pemimpin BN mempunyai pengalaman luas dan lama dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat," katanya.

0 ulasan: