SINAR HARIAN ONLINE
SUBANG JAYA – Seorang wanita terpaksa berhadapan detik hitam dalam hidupnya apabila bukan sahaja gambar bogelnya dirakam malah dirogol seorang lelaki menyamar anggota polis di Klang di sini, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa dikatakan sedang berehat di sebuah stesen minyak di SS15, di sini bagi melepaskan penat bekerja seharian sebagai seorang penolong pengurus restoran.
Sumber berkata, mangsa berusia 25 tahun yang tertidur di dalam keretanya kemudian dikejutkan oleh seorang lelaki yang mengetuk cermin keretanya.
Menurutnya, wanita berkenaan kemudian menurunkan cermin kereta dan bertanya apa yang diinginkan lelaki terbabit.
“Suspek kemudian memperkenalkan dirinya sebagai anggota polis daripada unit cegah jenayah dan memaklumkan perlu melakukan pemeriksaan sama ada mangsa pernah melakukan jenayah sebelum ini. Lelaki berkenaan turut memaklumkan perlu menguji air kencing mangsa untuk melihat sama ada mangsa berada di bawah pengaruh dadah.
“Tanpa sebarang perasaan curiga, mangsa menyerahkan kad pengenalannya untuk diperiksa lelaki berusia awal 30-an itu,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, lelaki terbabit kemudian memasuki kereta wanita berkenaan dan mengarahkan mangsa memandunya di sekitar kawasan dengan mendakwa perlu melihat cara pemanduannya.
“Selepas beberapa minit berpusing-pusing di sekitar kawasan itu, lelaki terbabit mengarahkan wanita berkenaan kembali ke stesen minyak itu.
“Seperti dipukau wanita berkenaan menuruti kemahuannya sebelum kemudian diarahkan menaiki kereta kepunyaan suspek,” katanya.
Menurutnya, ketika berada dalam kenderaannya, suspek mengarahkan mangsa minum sebotol air dipercayai air meningkatkan syahwat yang didakwa perlu diminum sebelum boleh menguji air kencing.
Kata beliau, selepas minum air berkenaan mangsa dibawa ke sebuah tempat yang tidak diketahui namun mendakwa melalui dua hentian tol iaitu di Batu 3 dan Sungai Rasau, Klang.
“Mangsa dibawa ke sebuah hotel dan diarahkan ke bilik air untuk mengambil sampel air kencing malah suspek turut mengarahkan mangsa mandi selepas mengambil sampel air kencing.
“Selepas keluar daripada bilik air, suspek menunjukkan beberapa rakaman gambar lucah dalam telefon bimbitnya dan turut mengarahkan mangsa baring sebelum merakam gambar bogelnya,” katanya.
Kata beliau, selepas merakam gambar bogel, suspek kemudian merogol mangsa yang dipercayai dalam keadaan berahi selepas meminum air diberikannya.
“Selepas melepaskan ‘hajatnya’ suspek kemudian menghantar wanita berkenaan ke stesen minyak di Subang Jaya itu semula.
“Wanita berkenaan kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Subang Jaya selepas mendapati dia terpedaya dan bimbang gambar bogelnya disebarkan kepada umum,” katanya.
Harga Minyak Dunia Turun Tetapi Harga RON97 Masih Sukar Diturunkan Seperti Yang Dijanjikan?
3 beberapa jam yang lalu

0 ulasan:
Catat Ulasan