BERITA HARIAN ONLINE
KUALA LUMPUR: Seorang wanita Indonesia yang dipercayai mengamalkan ilmu pukau, cedera teruk dibelasah selepas ditahan orang awam kerana disyaki mencuri dua telefon bimbit dari sebuah rumah di Apartmen Pantai Indah, Jalan Pantai Dalam dekat sini, pagi semalam.
Suspek berusia 20-an dikatakan dipukul hingga cedera di muka apabila enggan mengaku mencuri dua telefon bimbit itu.
Bagaimanapun, satu daripada telefon bimbit itu ditemui semula di tangga tingkat dua apartmen itu, dipercayai ditinggalkan suspek selepas menyedari dia dikejar.
Penghuni rumah diceroboh wanita itu yang enggan namanya disiarkan berkata, suspek mungkin menggunakan ilmu pukau ketika menceroboh rumahnya pada jam 8 pagi.
"Biasanya jika ada orang ketuk pintu, saya buka dan lihat siapa yang datang, namun pagi tadi (semalam) saya yang baru bangun dari tidur hanya membuka kunci dan kemudian tidur semula di ruang tamu tanpa melihat siapa di luar.
"Saya hanya melihat wanita itu ketika dia mahu keluar. Selepas itu saya terus ke bilik dan mendapati telefon bimbit saya sudah hilang.
"Tanpa berlengah saya mengejutkan penghuni yang lain dan mengejar wanita itu," katanya di sini, semalam.
Mangsa berkata, mereka mengesan wanita itu menggunakan telefon awam di tingkat bawah apartmen dan menahannya.
"Dia menafikan mencuri telefon bimbit itu. Ketika memeriksa begnya, saya melihat ada sejumlah wang yang agak banyak serta pil bertanda 'e' dan pasport Indonesia.
"Kami kemudian menemui satu telefon bimbit di tangga tingkat dua apartmen, manakala satu lagi belum ditemui," katanya.
Difahamkan, suspek mendakwa datang dari Subang Jaya untuk menemui saudaranya, tetapi tidak dapat membuktikan dakwaannya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Azri Abdul Rahman mengesahkan penahanan wanita itu yang didapati memasuki Malaysia kurang sebulan lalu.
Harga Minyak Dunia Turun Tetapi Harga RON97 Masih Sukar Diturunkan Seperti Yang Dijanjikan?
3 beberapa jam yang lalu

0 ulasan:
Catat Ulasan