Selasa, 14 Julai 2009

Warga emas juga kini disebat

Oleh NORLIZAH ABAS


PUTRAJAYA - Walaupun melangkaui usia 50 tahun, seorang datuk diperintah menjalani hukuman sebatan 24 kali selepas mengaku merogol cucunya sebanyak dua kali tahun lepas.

Ini berikutan pindaan Kanun Tatacara Jenayah pada 2007 (CPC) yang mewajibkan pesalah melangkaui usia tersebut disebat tidak seperti sebelum ini di mana mereka dikecualikan menjalani hukuman sebatan.

Warga emas berusia 58 tahun itu dan identitinya dirahsiakan diperintah menjalani hukuman penjara berjumlah 40 tahun atas kesalahan sumbang mahram.

Kedua-dua perintah hukuman itu diputuskan panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff yang menolak rayuan tertuduh.

Hakim Alauddin bersidang bersama Hakim Datuk Hasan Lah dan Hakim Datuk Ahmad Maarop.

Bagi kesalahan pertama, datuk berkenaan didapati merogol cucunya yang ketika itu berusia 13 tahun di pondok mereka di sebuah kampung terpencil di Daerah Muar, Johor kira-kira pukul 11 malam, 19 Julai tahun lalu.

Kesalahan kedua pula dilakukan kira-kira pukul 10 malam, 1 Ogos tahun lalu di tempat yang sama.

Dia yang mengaku melakukan kedua-dua kesalahan itu diperintah menjalani hukuman penjara 20 tahun dan sebatan 12 kali bagi setiap tuduhan dan hukuman berjalan berturutan.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Kwan Li Sa berhujah agar rayuan lelaki itu ditolak kerana perayu mengambil kesempatan terhadap cucu di bawah jagaannya itu setelah ibu bapanya bercerai pada 2004.

Pendakwa raya berhujah, pindaan terhadap Seksyen 289(c) CPC kini mewajarkan lelaki yang berusia melebihi 50 tahun disebat atas kesalahan rogol, sumbang mahram dan seks luar tabii.

''Jika sebelum ini, warga emas terselamat daripada sebatan mandatori sebanyak 10 kali mengikut Seksyen 289 CPC yang lama, kini tidak lagi setelah bonus pengecualian itu ditarik balik.

''Pindaan yang berkuat kuasa pada 7 September 2007, mewajarkan sebatan terhadap pesalah berumur 50 tahun ke atas bagi kesalahan di bawah Seksyen 376, Seksyen 377C, Seksyen 377CA atau Seksyen 377E Kanun Keseksaan,'' ujar beliau.

Li Sa berhujah, pindaan itu juga mewajibkan pesalah dikenakan sebatan minimum 10 kali berdasarkan keperluan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan bagi kesalahan sumbang mahram manakala hukuman penjara ditingkatkan di antara lapan tahun dan 30 tahun.

Sementara itu, panel sama turut mengekalkan hukuman penjara 15 tahun ke atas seorang bomoh kerana kesalahan merogol anak saudaranya yang ketika kejadian berusia 30 tahun.

Lelaki itu bagaimanapun terlepas hukuman sebatan kerana kesalahan itu dilakukan pada 16 November 2001 walaupun ketika itu usianya melebihi 50 tahun.

Pengamal perubatan tradisional itu didapati merogol mangsa kini berusia 38 tahun di antara pukul 8 malam dan 9 malam di sebuah kebun kelapa sawit di Parit Jawa, Muar.

Timbalan Pendakwa Raya, Fatnin Yusof memohon rayuan lelaki itu ditolak kerana tindakannya yang mengambil kesempatan terhadap mangsa ketika bapa wanita itu memerlukan rawatan penyakit barah otak.

Dalam kejadian itu, bomoh itu menyatakan, mangsa juga perlu dirawat dengan dimandikan di kolam air panas bagi mengubati bapanya yang dikatakan terkena buatan orang.

0 ulasan: