Oleh Hazirah Che Sab
SHAH ALAM: “Saya amat terkilan mendengar kematian Natrah menerusi televisyen kerana hajat saya bertemunya dalam masa dua atau tiga minggu lagi, tidak tercapai. Niat saya cuma satu, mahu menghilangkan rasa prejudisnya terhadap saya yang dianggapnya mahu memaksanya kembali kepada Islam.”
Inilah luahan bekas wartawan Dewan Masyarakat, Datin Fatini Yaacob yang menjejaki kisah Natrah sehingga ke Belanda, ketika ditemui di kediamannya di sini, semalam.
Beliau mengulas laporan kematian Natrah Maarof atau Bertha Hertogh, wanita yang menjadi pertikaian antara bapanya yang berbangsa Belanda dengan ibu angkatnya dari Malaysia, akibat leukemia di rumahnya, di Huijberhen, di selatan Belanda, kelmarin, pada usia 72 tahun.
Mengikut perancangan Fatini akan ke Belanda dalam masa terdekat untuk bertemu Natrah untuk kajian terakhir buku berkenaan wanita itu yang sedang ditulisnya. Fatini sebelum ini pernah menghasilkan laporan bersiri mengenai Natrah yang disiarkan majalah Dewan Masyarakat dan hasil tulisannya itu memenangi hadiah kewartawanan majalah Institut Akhbar Malaysia.
Natrah, kata Fatini, seorang yang lemah lembut dan penyayang, tetapi amat fobia kepada media yang dianggapnya menjadi punca rusuhan di Singapura pada 1950, yang menyebabkan 18 maut dan beratus-ratus lagi cedera selepas mahkamah memerintahkan dia dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya.
Menurut Fatini, Natrah bimbangkan keselamatan dirinya kerana beranggapan beliau sasaran balas dendam anggota keluarga mangsa yang terbunuh dalam kejadian itu.
“Atas alasan itulah, beliau meminta kedatangannya ke Malaysia pada 1999, dirahsiakan. Sepanjang membuat penyelidikan mengenainya, saya berasa amat mengenali wanita itu berbanding dirinya sendiri.
“Banyak sebenarnya yang ingin saya jelaskan jika berkesempatan bertemu Natrah untuk menyiapkan buku saya mengenainya. Saya ingin sekali bertanya apa pandangannya terhadap saya dan media selepas dia ke Malaysia 10 tahun lalu.
“Saya juga mahu memberitahunya yang negara ini sudah amat jauh berbeza berbanding dulu. Saya mahu menjelaskan tanggapannya kononnya ada orang mahu membalas dendam ke atasnya, tidak benar sama sekali,” kata Fatini.
Katanya, jika boleh, beliau juga mahu membawa Natrah keluar daripada fobia yang dipendam sejak sekian lama dengan memintanya melupakan dan memaafkan masa lalu.
“Saya mahu Natrah tahu, demi meneruskan masa depan, beliau perlu mengenali dirinya dan memaafkan masa lalu. Bagi saya, Natrah tidak tahu menguruskan penderitaan dan itulah yang dibawanya sehingga mati,” katanya.
Harga Minyak Dunia Turun Tetapi Harga RON97 Masih Sukar Diturunkan Seperti Yang Dijanjikan?
3 beberapa jam yang lalu

0 ulasan:
Catat Ulasan