BERITA HARIAN ONLINE
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menggunakan Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) untuk mewajibkan kuarantin pihak yang dikenal pasti perlu dikuarantin jika penularan wabak itu semakin meruncing.
Akta berkenaan membolehkan kerajaan mengambil beberapa tindakan terhadap mana-mana pihak yang tidak mengikut arahan dan memudaratkan kesihatan orang ramai.
Mereka yang melakukan kesalahan boleh didenda atau dipenjara dua tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi lima tahun bagi kesalahan kedua. Bagi kesalahan yang berterusan, denda tidak melebihi RM200 setiap hari boleh dikenakan sepanjang tempoh kesalahan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, bagaimanapun berkata ketika ini kerajaan masih menggunakan pendekatan nasihat supaya mereka yang disyaki atau dijangkiti H1N1 melakukan kuarantin kendiri.
“Setakat ini ia dilakukan secara suka rela. Langkah mewajibkan kuarantin akan diambil jika berlaku darurat kesihatan atau penularan semakin meruncing.
“Wabak H1N1 boleh dikawal jika mendapat sokongan dan kerjasama penuh rakyat. Mereka yang dijangkiti atau mempunyai simptom perlu asingkan diri.
“Masalahnya, ada yang tidak menyahut seruan kerajaan. Walaupun selesema, tidak memakai topeng muka dan masih menghadiri program sosial,” katanya ketika dihubungi semalam.
Dalam pada itu, beliau mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang bimbang terhadap penularan wabak H1N1 di negara ini.
Akhbar ini semalam melaporkan Tengku Abdullah mahu kerajaan mengkategorikan tahap ancaman H1N1 bagi meningkatkan kesedaran rakyat mengenai bahaya wabak itu yang setakat ini mengorbankan 56 mangsa.
Liow mengakui wabak H1N1 di negara ini serius berikutan penularan dalam komuniti yang berterusan seperti pengisytiharan fasa pandemik peringkat dunia oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Sambil menjelaskan belum ada ukuran khusus untuk menentukan tahap bahaya wabak H1N1 di negara ini, beliau berkata, pihaknya mengambil kira pandangan Tengku Mahkota Pahang dan akan mengkajinya.
Harga Minyak Dunia Turun Tetapi Harga RON97 Masih Sukar Diturunkan Seperti Yang Dijanjikan?
3 beberapa jam yang lalu

0 ulasan:
Catat Ulasan