Jumaat, 14 Ogos 2009

Bapa ketagih arak kelar tangan anak

Oleh Rosli Abdul Jalil


TEMERLOH: Akibat ketagihan arak, seorang bapa bertindak nekad menggelar tangan kiri anak lelaki selepas ugutannya untuk mendapatkan wang tidak diendahkan isterinya, petang kelmarin.

Sebelum kejadian, lelaki terbabit yang berusia 40 tahun pulang ke rumahnya di Sungai Klawang, dekat sini dalam keadaan mabuk.

Beliau kemudian memin-ta wang daripada isterinya untuk membeli minuman keras kerana masih ketagihan arak tetapi tidak diendahkan.

Berang kerana kemahuan tidak dipenuhi, lelaki terbabit yang juga seorang penganggur terus mengambil pisau cukur lalu mengan-cam mencederakan anak lelakinya yang berusia 11 tahun.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner, Ahmad Fadzillah Mohamed, berkata ibu mangsa terkejut dengan tindakan nekad suaminya tetapi tidak mampu berbuat apa-apa.

"Oleh kerana permintaannya tidak dipenuhi, lelaki itu terus menggelar tangan kiri anaknya sehingga meraung kesakitan.

"Sebaik melihat tangan anaknya berlumuran darah lelaki terbabit terus melarikan diri," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, ibu mangsa kemudian menghubungi polis memaklumkan kejadian itu serta membuat laporan di Balai Polis Lanchang.

Ahmad Fadzillah berkata, pihaknya sudah melancarkan gerakan memburu suspek.

"Siasatan mendapati suspek pernah ditahan kerana terbabit dalam beberapa kes jenayah dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," katanya.

0 ulasan: