BERNAMA
BUKIT MERTAJAM: Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan ditahan polis bagi membantu siasatan kerana didakwa mencetuskan kekecohan di kawasan pusat penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini, pagi ini.
Ketua Polis Negeri, Datuk Ayob Yaakob memberitahu pemberita bahawa, dalam insiden jam 11.30 pagi itu, Ahli Majlis Tertinggi PKR itu telah mencetuskan kekecohan apabila mengingkari arahan polis supaya tidak menggunakan alat pembesar suara untuk melaungkan kata-kata berunsur provokasi.
Katanya setelah Gobalakrishnan ingkar dengan amaran polis sebanyak dua kali, seorang anggota polis menahannya tetapi beliau dan penyokongnya kemudian melawan anggota polis dan menyebabkan berlaku kekecohan.
Kekecohan itu membabitkan kira-kira 50 penyokong pakatan pembangkang yang cuba merempuh kawalan polis di pusat penamaan calon itu.
"Bagaimanapun kekecohan dapat dikawal oleh pasukan polis dan Gobalakrishnan yang mendakwa tangan kirinya patah dalam pergelutan dengan polis itu dibawa ke Hospital Bukit Mertajam dengan sebuah ambulans," katanya.
Katanya terdapat juga anggota polis yang cedera dan dihantar ke hospital.
Harga Minyak Dunia Turun Tetapi Harga RON97 Masih Sukar Diturunkan Seperti Yang Dijanjikan?
3 beberapa jam yang lalu

0 ulasan:
Catat Ulasan